MELANGKAH ke tahun 2023, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menerusi sektor operasinya terus memberikan perhatian dan keutamaan terhadap kes-kes melibatkan pengurusan dana, subsidi dan bantuan-bantuan khas kerajaan. Dalam hal ini, di bawah strategi Pemerkasaan Penguatkuasaan Berkesan, SPRM memberi penekanan terhadap tiga bidang utama iaitu perolehan kerajaan, sektor penguatkuasaan dan dana awam atau peruntukan khas kerajaan.
Pertama, dalam bidang perolehan kerajaan, tumpuan siasatan SPRM adalah untuk membanteras amalan rasuah dalam sistem perolehan kerajaan, mengelakkan daripada ketirisan dan memastikan projek-projek atau perkhidmatan dilaksanakan mengikut undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.
Tumpuan turut diberikan kepada kegiatan monopoli projek (kartel projek), projek-projek terbengkalai dan projek-projek ‘sakit’ yang menyebabkan kerugian besar kepada kerajaan dan melibatkan kes grand corruption seperti individu berprofil tinggi, kes berkepentingan awam dan kes sensitif.
Kedua, menerusi bidang sektor penguatkuasaan pula, tumpuan SPRM adalah terarah kepada pembongkaran kes-kes bersindiket (syndicated crime) atau jenayah terancang yang memberi kesan kepada aspek sosioekonomi masyarakat seperti penyeludupan, perjudian, pemerdagangan manusia, pekerja asing tanpa izin (PATI), pelesenan, percukaian dan Macau Scam. SPRM percaya, terdapatnya tali barut dalam kalangan pegawai dan anggota agensi penguatkuasa dalam membantu kegiatan penjenayah-penjenayah ini.
Ketiga, bidang dana awam atau peruntukan khas kerajaan, tumpuan SPRM adalah terhadap isu-isu ketirisan dan ketelusan pengurusan dana kerajaan yang hendak disalurkan kepada golongan sasar. Saban tahun, SPRM menerima rungutan daripada pelbagai lapisan masyarakat tentang ketidakcekapan pengagihan dana-dana awam, ketirisan, penyelewengan dan tidak mencapai objektif pelaksanaannya.
Dana-dana ini adalah seperti Kumpulan Wang Amanah Pencen (KWAP), Skim Keselamatan Sosial Pekerja (Perkeso), Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin), Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana), Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) serta Skim Bantuan kepada Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Menyentuh berkaitan usaha membanteras ketirisan dan penyelewengan dana awam ini, SPRM pada tahun lalu melancarkan satu operasi khas yang dinamakan sebagai Ops Hire. Siasatan yang melibatkan kolaborasi strategik antara SPRM bersama Perkeso digerakkan sejak Julai 2022 dan dilaksanakan di beberapa negeri di Semenanjung.
Fokus siasatan adalah terhadap syarikat-syarikat yang disyaki melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Penjana melalui Perkeso. Jumlah peruntukan yang disalurkan oleh kerajaan untuk program Penjana ini adalah RM3.5 bilion dalam tiga peringkat:
– Penjana Kerjaya 1.0 (1 Jun 2020 hingga 20 Disember 2020).
– Penjana Kerjaya 2.0 (21 Disember 2020 hingga 30 Jun 2021).
– Penjana Kerjaya 3.0 (fasa pemulihan) iaitu dari 15 Jun 2021 hingga 31 Disember 2023.
Objektif pemberian dana ini oleh kerajaan adalah untuk merangsang ekonomi semasa tempoh pandemik Covid-19 melalui Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Program Latihan Pekerja. Dalam kes ini, suspek-suspek dikesan telah mengambil kesempatan atas syarat-syarat longgar yang ditetapkan oleh kerajaan dengan mengemukakan permohonan mendapatkan dana Penjana menggunakan dokumen-dokumen mengandungi maklumat pekerja dan program latihan palsu kepada Perkeso.
Hasil siasatan mengesahkan individu-individu yang didakwa sebagai kakitangan kepada syarikat suspek tidak dapat dibuktikan dan program latihan juga tidak dilaksanakan sepenuhnya sebagaimana tuntutan.
Melalui operasi ini, seramai 74 individu ditangkap dan 61 syarikat disiasat. Siasatan mendapati jumlah yang terlibat dengan jenayah ini adalah sebanyak RM87.98 juta.
Sehingga 19 Januari lalu, seramai 27 individu telah didakwa di Mahkamah Khas Rasuah Kuala Lumpur, Selangor dan Melaka di bawah kesalahan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 yang mana nilai keseluruhan tuntutan palsu adalah RM4.93 juta. Wang hasil daripada aktiviti jenayah ini berjumlah RM3 juta juga berjaya dilucutkan kepada kerajaan.
Ramai lagi suspek dijangka didakwa dalam masa terdekat selepas siasatan ke atas mereka diselesaikan. Walaupun ramai suspek telah didakwa, siasatan ke atas isu ini tidak berakhir di sini sahaja. Siasatan masih diteruskan bagi mengesan individu-individu atau syarikat-syarikat yang disyaki terlibat melakukan jenayah rasuah, pemalsuan dokumen dan penipuan bagi mendapatkan dana kerajaan di bawah program Penjana.
SPRM tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas mereka yang terlibat dalam isu ini. Di samping itu juga, sektor pencegahan melalui fungsi pemeriksaan dan perundingan juga akan menumpukan kepada penelitian amalan, sistem dan tatacara agensi-agensi awam terutama yang terlibat dengan pengurusan dana atau geran kerajaan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya jenayah. – UTUSAN
DATUK Seri Hishamuddin Hashim ialah Pengarah Kanan Siasatan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).










