JIKA berpeluang menyaksikan persembahan komuniti Chetti Melaka, kita pasti terhibur dengan tarian tradisional diiringi lagu Tamil Chinna Maamiye dan lagu Melayu Dinggiri Dinggale Minachi. Saya mengenali komuniti Peranakan India ini secara peribadi sejak 2006. Hasil perbualan dengan golongan muda, saya dapati ramai Chetti Melaka sendiri tidak menyedari asal usul lagu-lagu berkenaan.
Lagu Chinna Maamiye turut dipaparkan dalam filem Tamil, Gargi (2022) dengan menyebut nama Nithi Kanagaratnam sebagai penulis lirik. Chinna Maamiye dan Surangani pernah disajikan dalam filem Pandhayam (2008) dengan menyebut Ceylon Manohar (A.E. Manoharan) sebagai penulis lirik.
Kaum India di Malaysia mungkin masih ingat lagu Surangani dalam filem Avar Enakke Sontham (1977) dan masih dipopularkan Kumpulan Balle Balle dari Kampung Api-Api, Kuala Selangor.
Pada masa dahulu, M. Shariff pernah mempopularkan Dinggiri Dinggale Minachi. Lagu itu mula-mula muncul dalam filem Anbu Engey (1958) sebelum dihidupkan kembali menerusi filem Kurup (2021) versi Malayalam, Tamil, Telugu, Kannada dan Hindi.
Kita mungkin ingat lagu Ding A Ding Gale (Kahwin Lari) nyanyian Sudirman dalam album Lagu Cinta (1982) yang ternyata menerima tempias daripada kepopularan lagu Tamil itu tadi. Tidak salah jika dikatakan lagu-lagu ini sudah menjadi sebahagian budaya masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Maka, amat wajar dan perlu untuk kita mengetahui asal usul lagu-lagu popular ini.
Sejarahnya bermula di Sri Lanka (Ceylon) yang dihuni orang Sinhala dan Tamil. Susulan kedatangan Portugis pada 1505, berlaku kahwin campur yang melahirkan komuniti peranakan sepertimana di Kampung Portugis, Melaka.
Sekitar 1630, buruh Afrika dibawa bekerja di ladang-ladang Ceylon. Mereka membawa budaya muzik dan lagu tradisional yang kemudian menjadi ikutan komuniti Burgher iaitu Peranakan Portugis.
Asimilasi budaya, muzik dan lagu menghasilkan baila yang diambil daripada istilah Portugis bailar (menari). Gelaran atau nama itu memang sesuai kerana lagu-lagu baila sentiasa membuatkan orang ramai mahu menari mengikut rentak lagu dan muzik.
Hugh Nevill, seorang pegawai British yang berada di Ceylon dari 1869 hingga 1886 berjaya mengumpul dan menyimpan tiga manuskrip lagu-lagu tradisional komuniti di pulau berkenaan. Kandungan manuskrip itu dianalisis Dr. Shihan de Silva Jayasuriya dalam jurnal Bulletin of the School of Oriental and African Studies (1996).
PIRING HITAM
Lirik lagu baila biasanya ada unsur lucu, menghiburkan dan menyelitkan pengajaran. Alat muzik yang digunakan pula berubah dan ditokok tambah mengikut selera komuniti setempat. Malah, komuniti Chetti Melaka di negara kita menggunakan alat muzik tradisional tempatan.
Agak menarik kerana baila di Sri Lanka dikaitkan dengan komuniti Burgher iaitu Peranakan Portugis. Di Malaysia pula, ia tidak popular dalam komuniti Casados di Kampung Portugis, sebaliknya menjadi identiti komuniti Chetti Melaka iaitu Peranakan India.
Lagu Surangani atau judul asalnya Suranganita Maalu Genawa (Aku Belikan Ikan Untuk Surangani) dipopularkan oleh Manoharan dalam bahasa Sinhala, Tamil, Hindi, Telugu dan Malayalam.
Seorang lagi pakar dan pelopor lagu baila iaitu Dr. Nithi Kanagaratnam mengesahkan lirik lagu berkenaan ditulis seorang bernama Fernando pada 1886. Bagaimanapun, Manoharan merupakan artis yang berjaya mempopularkan lagu itu sehingga terkenal di Sri Lanka, India, Malaysia dan Singapura.
Lagu Chinna Maamiye sering dikreditkan kepada Kanagaratnam yang mempopularkannya sejak 1967 berdasarkan puisi tulisan rakan bernama Thirunavakarasu. Dalam satu wawancara, bekas pensyarah Universiti Victoria, Australia itu mengaku hanya pada 2001, beliau tahu penulis lirik asal bernama Kamalanathan.
Pada 1972, Kanagaratnam yang berumur 27 tahun merakam piring hitam memuatkan empat lagu. Selain Chinna Maamiye, lagu Kallukadei Pakkam Poogatey juga amat popular. Kanagaratnam pertama kali mempersembahkan lagu-lagu berkenaan dalam sebuah festival di Jaffna pada 1968. Sejarah tercipta apabila beliau diangkat sebagai Tamil Popisai Pitha (Bapa Lagu Pop Tamil).
MGR
Sementara itu, Manoharan (1945-2018) digelar Tamil Popisai Chakravarthi (Raja Lagu Pop Tamil). Mereka berdua berjaya mengangkat dan mempopularkan lagu-lagu baila dalam pelbagai bahasa di peringkat antarabangsa. Piring hitam Latest Ceylon Tamil Pop Songs (1975) memuatkan 15 lagu nyanyian Kanagaratnam dan Manokaran. Kita boleh berbangga kerana piring hitam di bawah label India Record dikeluarkan di Malaysia.
Dalam wawancara di The Hindu (19 April 2010), Kanagaratnam menceritakan bagaimana lagu Kallukadei Pakkam Poogatey (Jangan Pergi Ke Kedai Todi) pernah digunakan M.G. Ramachandran (MGR) bagi kempen antiarak selepas menjadi Ketua Menteri Tamil Nadu pada 1977.
Seorang lagi pelopor baila yang perlu diiktiraf ialah Wally Bastiansz (1914-1985). Beliau merupakan seorang pegawai polis trafik dan penggiat baila pada 1940-an. Wally menggabungkan elemen Portugis, Afrika dan Sinhala lalu menghasilkan suatu genre muzik unik dan mewakili budaya komuniti tempatan iaitu Burgher, Sinhala dan Tamil.
Seorang lagi penggiat muzik Sri Lanka ialah M.S. Fernando (1936-1994). Sumbangan beliau juga amat penting dalam perkembangan baila sehingga digelar Baila Chakravarthi (Raja Baila). Beliau mencipta nama apabila menyanyikan lagu Sili Siliye Nava Suvandak dalam filem Sasaraka Heti (1964). Sejak itu, menjadi penyanyi latar bagi lebih 150 filem. Fernando mempersembahkan baila di England, Perancis, Australia, Kanada, Singapura dan Asia Barat.
Perlu diakui, kita di Malaysia kurang mengikuti dan mengetahui sejarah baila yang berasal dari Sri Lanka. Bagaimanapun, tanpa disedari, baila sudah menjadi sebahagian budaya hidup kita. – UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.










