Kerajaan Perpaduan: Masa untuk buktikan

Kerajaan Perpaduan: Masa untuk buktikan

YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan bergambar dengan barisan menteri Kabinet pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Menteri Persekutuan di Istana Negara semalam. - FOTO/IHSAN JABATAN PENERANGAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Selepas terbentuknya Kabinet dengan kesemua 27 jemaah menteri selesai mengangkat sumpah di Istana Negara semalam, kini seluruh rakyat menunggu Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan kemampuan barisan Kabinetnya memacu kembali ekonomi negara dan membela nasib rakyat.

Walaupun wujud rasa tidak puas hati terhadap keputusan Anwar melantik individu yang masih mempunyai kes mahkamah dan calon kecundang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) untuk menganggotai Kabinetnya, namun ramai juga yang beranggapan ia adalah keputusan berani dan perlu diberikan masa untuk beliau buktikan pilihan itu tepat.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Jamaie Hamil berkata, ahli-ahli Parlimen yang dilantik sebagai menteri di dalam Kabinet perlu diberi tempoh sekurang-kurangnya enam bulan hingga satu tahun pertama perkhidmatan bagi mengukur prestasi dan tahap kecekapan mereka untuk mengemudi kementerian masing-masing.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kesemua jemaah menteri perlu melalui ‘ujian’ yang sama walaupun menteri tersebut sudah mempunyai pengalaman dalam Kabinet atau sebaliknya.

“Anwar perlu merombak Kabinet sekiranya seseorang menteri yang dilantik tidak menunjukkan prestasi baik sepanjang tempoh perkhidmatannya,” katanya.

Naib Canselor Universiti Sultan Azlan Shah (USAS), Tan Sri Prof. Dr. Nordin Kardi pula berkata, Perdana Menteri membuat keputusan berani apabila melantik Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri walaupun itu bukan satu tindakan popular.

Malah, katanya, keputusan Anwar melantik calon yang kalah pada PRU15 ke dalam Kabinet juga adalah demi kepentingan negara.

“Kecaman dan gangguan berikutan senarai Kabinet yang diumumkan Anwar kelmarin tetap ada, namun Anwar sudah pun menunjukkan beliau seorang yang berani.

“Beliau berani mungkin kerana ada alasan demi kepentingan negara, untuk mendapat negara yang stabil dan tidak bertukar-tukar (kerajaan) seperti sebelum ini. Itu langkah berani dan luar biasa,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Pemerhati politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof. Dr. P. Sivamurugan pula berkata, Anwar perlu membuktikan yang beliau tidak mencampuri urusan mahkamah, selepas melantik individu yang berhadapan dengan tuduhan rasuah dalam Kabinetnya.

Katanya, orang ramai sudah pasti tertumpu terhadap pelantikan Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Bagaimanapun, tambah beliau, masyarakat perlu akur pemilihan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berdasarkan hieraki dalam parti dan sokongan setiap blok yang membentuk kerajaan Pusat.

“Kita tahu Ahmad Zahid merupakan instrumental dalam kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan BN, bermakna jawatan tersebut diberikan sesuai untuk memastikan keseimbangan sokongan tidak
tersasar daripada apa yang telah diwujudkan.

“Tetapi, ini juga masanya untuk Ahmad Zahid buktikan bahawa beliau tidak bersalah dan buktikan mahkamah yang menentukan (tanpa campur tangan),” katanya ketika dihubungi semalam.

Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir pula berpendapat, tindakan Anwar menamakan kira-kira 50 peratus muka baharu dengan individu berpengalaman dalam barisan Kabinet merupakan satu gandingan yang mantap untuk membantu beliau merealisasikan agenda pembangunan negara.

Beliau percaya Anwar sudah mengambil kira semua faktor dengan teliti termasuk dari segi komposisi parti dalam pembentukan Kabinet.

“Penglibatan individu yang disifatkan bertenaga, berupaya dan mempunyai kearifan untuk membantu Anwar amat penting bagi menangani isu-isu dihadapi rakyat,” ujarnya ketika dihubungi Utusan Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini