Kerusi bercampur Pulau Pinang bakal saksi kejutan

Kerusi bercampur Pulau Pinang bakal saksi kejutan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TIDAK seperti pilihan raya umum lalu yang mana 11 daripada 13 kerusi Parlimen di Pulau Pinang dimenangi Pakatan Harapan (PH), Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukan lagi gelanggang pertarungan yang mudah buat gabungan itu.

Selain calon-calon DAP yang diyakini mampu mengekalkan tujuh kerusi yang ditandingi sama seperti PRU14, calon PH lain iaitu daripada parti komponen Parti Keadilan Rakyat (PKR); Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) dilihat berdepan saingan sengit di kerusi masing-masing.

DAP hampir pasti tidak berdepan masalah mengekalkan kemenangan 100 peratus di Parlimen ditandingi mereka memandangkan kesemua kerusi itu majoritinya pengundi Cina yang sehingga kini masih terlalu kuat menyokong PH.

Kesemua tujuh kerusi majoriti Cina yang turut dimenangi DAP dengan majoriti besar pada PRU14 itu adalah Parlimen Bagan, Bukit Mertajam, Batu Kawan, Jelutong, Bukit Gelugor, Tanjong dan Bukit Bendera.

Namun situasi sedikit berbeza bagi calon PKR yang mana kesemua empat kerusi ditandingi calon mereka iaitu Permatang Pauh; Nibong Tebal; Balik Pulau dan Bayan Baru adalah pengundi bercampur.

Kerusi Parlimen Permatang Pauh mungkin terlalu sukar dicabar kerana kekuatan calonnya yang datang dari keluarga Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sudah hampir 40 tahun bertapak di situ.

Namun, kejutan boleh berlaku di kerusi itu melihat kepada sambutan memberangsangkan diterima khususnya kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mohd. Zaidi Mohd. Said yang kini bersaing sengit dengan calon PKR, Nurul Izzah Anwar.

Di kerusi Bayan Baru juga persaingan yang pada awalnya dijangka lebih memihak kepada calon PKR menerusi calonnya yang juga penyandang kerusi itu, Sim Tze Tzin kini nampaknya semakin seimbang dengan calon BN, Saw Yee Fung.

Calon wanita muda BN itu secara tiba-tiba menjadi sorotan dan semakin menarik perhatian pengundi kerana begitu agresif menggempur kubu-kubu kuat PH di Bayan Baru dengan idea dan visinya yang segar serta meyakinkan.

Turut menarik untuk diperhatikan adalah kerusi Parlimen Nibong Tebal yang sebelum ini juga kubu kuat dan dimenangi calon PKR pada PRU14 menerusi calonnya Datuk Mansor Othman (sebelum melompat menyertai Bersatu).

PKR yang mempertaruh Ketua Wanitanya, Fadhlina Sidek di kerusi itu kini juga berdepan saingan sengit khususnya daripada calon BN, Datuk Seri RS Thanenthiran yang juga Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia (Makkal Sakti).

Pertama kali diberi kepercayaan bertanding atas tiket parti mesra BN, Thanenthiran ketika ini begitu bersemangat membuktikan kemampuannya dan agresif bertemu pengundi di kawasan itu sehinggakan menenggelamkan gerak kerja calon lain termasuk Mansor sendiri yang bertanding mempertahan kerusi itu atas tiket Perikatan Nasional (PN).

Di kerusi Parlimen Balik Pulau pula, pengaruh PKR nampaknya masih terlalu kuat untuk digugat mana-mana parti lain apatah lagi calonnya yang juga penyandang, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik lebih sinonim sebagai pemimpin masyarakat di situ.

Bagi blok Barisan Nasional (BN) pula, dua kerusi Parlimen ketika ini boleh dikatakan sudah berada di dalam genggaman iaitu masing-masing di Kepala Batas dan Tasek Gelugor.

Parlimen Kepala Batas misalnya memang diketahui kubu kuat BN khususnya UMNO sejak sekian lama dan pencalonan semula Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican untuk mempertahan kerusi itu hanya mengesahkan lagi kemenangan BN kelak.

Begitu juga di kerusi Parlimen Tasek Gelugor yang mana meskipun pada PRU14 dimenangi BN dengan majoriti hanya 81 undi menerusi calonnya, Datuk Shabudin Yahaya yang kemudiannya menyertai Bersatu.

Ini kerana pemilihan Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor sebagai calon BN Tasek Gelugor disifatkan satu keputusan tepat memandangkan beliau merupakan pemimpin tempatan yang sudah sedia diterima dan dikenali pengundi apatah lagi beliau juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua di bawah Parlimen tersebut.

Meskipun Perikatan Nasional (PN) cuba memberi saingan di kerusi itu dengan meletakkan calon `heavyweigh’ iaitu Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan, namun ia mungkin tidak memadai memandangkan Wan Saiful ialah calon `import’ dan tidak begitu dikenali masyarakat setempat.

Begitu pun dengan tempoh kempen yang masih panjang dan dengan pelbagai isu yang terkait dengan parti-parti bertanding, agak sukar untuk menjangkakan kecenderungan sebenar pengundi pada PRU15 kali ini.

Ditambah dengan faktor pengundi muda yang agak ramai, corak sokongan kumpulan pengundi ini juga mampu mempengaruhi keputusan pada 19 November ini.

Dalam erti kata lain, di kerusi-kerusi pengundi bercampur di Pulau Pinang, tidak ada mana-mana parti yang berani mengatakan mereka pasti menang kerana peluang kini sangat terbuka untuk mana-mana parti membuat kejutan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×