Lebih sedekad tidak menerima tawaran berlakon drama televisyen, pelakon, Ammar Alfian mendedahkan kali terakhir dia terbabit dalam naskhah genre berkenaan sekitar 2014.
Menurut Ammar, dia sendiri tidak mengetahui punca sebenar keadaan itu, namun tidak menolak kemungkinan stesen televisyen melihatnya sebagai pelakon yang kini lebih sinonim dengan filem.
“Saya rasa mungkin stesen TV sudah tidak mahu ambil saya berlakon drama. Mungkin mereka takut atau menganggap apabila seseorang pelakon sudah masuk filem, dia tidak boleh kembali kepada drama.
“Hanya beberapa orang sahaja yang boleh buat begitu dan mungkin saya bukan salah seorang. Saya rasa sekarang saya dah banyak berada dalam filem sahaja.
“Kalau masuk drama, mestilah kita mahu tunjukkan kemampuan. Sekarang pun drama sudah ada 28 episod, 50 episod. Tapi kalau drama cinta, bukankah saya sudah tua?,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Bagaimanapun, pelakon berusia 39 tahun itu menegaskan dia masih terbuka sekiranya menerima tawaran drama yang bersesuaian pada masa akan datang.
“Belum ada tawaran drama setakat ini, tetapi saya terbuka. Bukanlah saya menanti tawaran. Maksud saya, kalau ada tawaran, saya terbuka. Cuma kebanyakan tawaran yang saya terima sekarang ialah filem.
“Mungkin sekarang sudah ada ramai hero baharu. Pelapis kita pun ramai yang kacak. Jadi, buat apa mereka mshu muka orang tua ini lagi? Bagi saya, sekarang saya tak kisah. Dulu bolehlah kita memilih sebab mahu membina asas dan menentukan kedudukan kita dalam industri.
“Saya sudah dikenali sebagai pelakon aksi. Sekarang umur pun dah menghampiri 40 tahun, saya mahu cuba teroka perkara lain. Mungkin saya boleh buat komedi pula. Saya selalu cakap ketika siaran langsung TikTok yang saya mahu buat cerita Ustaz Sado” jelasnya.
Dalam masa sama, Ammar turut berpandangan stigma bahawa pelakon filem tidak seharusnya kembali ke drama sudah tidak lagi relevan, terutama dalam keadaan industri yang semakin mencabar.
“Dulu saya fikir kalau sudah masuk filem, kita buat filem sahaja. Tetapi sekarang ada pelakon yang susah hendak bertahan. Untuk seorang pelakon kalau terlalu memilih kerja sekarang agak sukar.
“Dulu mungkin lebih mudah untuk pilih sama ada mahu berlakon drama atau filem. Sekarang, bagi saya, kalau dapat kerja, ambillah. Perkara ini bukan semata-mata mengenai jumlah wang, tetapi konsistensi mendapatkan pekerjaan.
“Kalau seorang pelakon mahu mencuba bidang lain, cubalah. Kalau dah berlakon filem, cuba drama pula. Jangan letakkan stigma bahawa pelakon filem mesti kekal dalam filem dan pelakon drama hanya boleh berlakon drama,” tambahnya.

Apa salahnya saya jadi jahat?
Kerap ditawarkan untuk membawa watak antagonis, Ammar tidak pernah menganggap tawaran membawa watak jahat sebagai satu beban, sebaliknya melihat karakter sedemikian sebagai kelebihan yang membezakan dirinya daripada pelakon lelaki lain.
Tambah pelakon filem Orang Perang itu, dia sendiri tidak mengetahui mengapa kebanyakan penerbit dan stesen televisyen lebih gemar melihatnya dalam watak sedemikian.
“Seronok juga bila dapat dibenci orang. Bagi saya, ramai pelakon lelaki sekarang mahu jadi hero. Jadi, apa salahnya saya jadi watak jahat? Sekurang-kurangnya ada sedikit kelainan berbanding orang lain. Tidak ramai yang mahu jadi jahat, semua mahu jadi baik sahaja.
“Tetapi, cuba tanya penerbit dan stesen TV kenapa mereka selalu letakkan saya dalam watak seperti itu? Saya sebenarnya boleh sahaja bawa watak romantik. Malah, saya pernah buat sebelum ini dalam beberapa naskhah.
“Saya rasa sejak mula aktif dalam filem, semuanya mula berubah. Saya harap mereka terbuka hati untuk beri saya watak yang tidak terlalu jahat. Saya mahu juga cuba sesuatu yang berbeza dan bukan sekadar karakter antagonis,” katanya.
Meskipun sering dikaitkan dengan watak jahat, Ammar menganggap dia juga sudah terbiasa apabila watak yang dimainkan memberi penerimaan negatif terhadap penonton sehingga mengaitkannya dengan personaliti sebenar.
“Bila kita sudah selalu bawa watak jahat, penonton kadang-kadang fikir dalam kehidupan sebenar pun kita memang jahat.
“Kalau hero, orang tepuk tangan, sayang dan sanjung. Siapa pula nak sokong orang jahat?Tapi bagi saya, saya dah biasa dengan perkara itu,” ujarnya.










