‘Bertanding untuk beri khidmat, bukan kalahkan musuh politik’ - Utusan Malaysia

‘Bertanding untuk beri khidmat, bukan kalahkan musuh politik’

ADAM ADLI Abd. Halim menyantuni para pengundi Parlimen Hang Tuah Jaya di Bukit Piatu, Melaka semalam. – UTUSAN/MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Adam Adli Abd. Halim berkata, beliau bukan calon ‘import’ selain matlamat beliau bertanding bukan untuk me­ngalahkan musuh politik.

Sebaliknya, kata calon Pakatan Harapan (PH) di Parlimen Hang Tuah Jaya itu, beliau memasuki politik untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya bukanlah orang luar kerana ayah saya berasal dari Melaka. Rasa seperti pulang ke kampung semula selepas dicalonkan di sini.

“Siapa pun calon yang bertanding di peringkat parlimen tidak penting, termasuk calon luar kerana calon itu yang akan mewakili suara pengundi yang kemudian disampaikan ke Parlimen,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Berbeza dengan calon Dewan Undangan Negeri (DUN) apabila mereka yang bertanding di situ akan fokus kepada permasalahan setempat yang kemudian akan dibawa ke peringkat ne­geri.

“Oleh itu, tidak penting pun siapa calon yang bertanding kerana yang lebih penting mampukah calon yang menang menjalankan amanah untuk pe­ngundi,” kata beliau.

Selain Adam Adli berentap di Parlimen Hang Tuah Jaya, Barisan Nasional (BN) pula mempertaruhkan Datuk Mohd. Ridhwan Mohd. Ali iaitu anak kepada bekas Ketua Menteri Melaka, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam sementara Perikatan Nasional (PN) mencalonkan Mohd. Azrudin Md. Idris dan Gerakan Tanah Air meletakkan Sheikh Ikhzan Sheikh Salleh.

Oleh itu, Adam Adli berkata, beliau tidak terkesan dengan pertembungan dengan calon lain yang memberitahu mereka adalah orang tempatan.

Ini kerana, kata beliau, fokus utama adalah untuk memenangkan PH selain berusaha menarik sokongan pengundi di kawasan tersebut.

“Saya bangga apabila calon-calon muda diketengahkan di kerusi Hang Tuah Jaya. Saya sendiri tidak memikirkan siapa calon lain yang bertanding ke­rana matlamat saya adalah pe­ngundi.

“Saya bertanding untuk berkhidmat di kawasan ini, bukannya untuk mengalahkan musuh politik. Justeru, per­saingan adalah sihat dan yang lebih penting adalah bagaimana kita hendak mengambil hati pengundi,” kata beliau.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×