PENDIDIKAN yang merupakan agenda utama bagi setiap individu semestinya rumit untuk diuruskan dengan licin. Ini kerana boleh dikatakan masing-masing merasakan berhak mengeluarkan pendapat tanpa mengambil kira pendapat orang lain, baik yang pakar atau pengamal sekalipun.
Kadangkala mereka diketepikan sahaja atas sebab kurang meyakinkan hasil pengaruh kuat sesuatu kelompok, tidak perlu usul periksa oleh pihak berkepentingan. Maka timbullah pelbagai kemungkinan yang diapi-apikan oleh kelompok tersebut dan seolah-olah pendidikan boleh dimuatkan dalam satu acuan semata-mata. Tidak kira pula acuan siapa. Ramai tidak sedar pada ketika ini acuannya dipadankan mengikut pandangan neo-liberal Barat sejak 1960-an lagi dengan membawa istilah yang tidak asing kepada hampir semua lapisan, yakni modal insan.
Dalam bahasa kasarnya, ia merupakan satu percaturan tenaga dan kudrat manusia sebagai pemangkin ekonomi berdasar kerahan buruh untuk pembangunan alam semesta khususnya dari sudut kebendaan.
Umum dikenali sebagai ‘pendidikan tanpa roh.’ Di Malaysia, ini jelas sejak beberapa tahun kebelakangan apabila agenda modal insan memuncak melalui ideologi sempitnya.
Berdasarkan ini sahaja terlalu banyak persoalan dapat dijangkakan, namun tidak berlaku secara berkesan. Misalnya, tidak langsung ada persoalan tentang kesesuaian ‘acuan’ yang dikenakan secara langsung atau tidak. Sewaktu pra-Covid-19, hal ini mungkin tidak seketara, tetapi semasa pandemik meruncing hanya yang tidak peka masih leka.
Yang prihatin akan bertambah terangsang akibat bahana yang begitu dahsyat kepada bukan sahaja pendidikan tetapi penghidupan. Kebebasan terbatas dan keganasan mula menghantui masyarakat seluruh dunia.
Emosi terancam dan silaturahim menjadi tegang. Ini sekali gus mencabar penghidupan serta mendesak penafsiran makna pendidikan tanpa roh yang menyelubungi ekosistemnya.
Oleh itu, masanya sudah tiba untuk merenungi semula hikmah pendidikan sebenar kerana ia mampu membuka jendela hidup dalam melayari kehidupan yang luhur lagi sejahtera serba-serbi. Maksudnya, segera mengembalikan semula roh pendidikan bak Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) 1996 yang lama terabai.
Dan bukan semata-mata dari satu-satu sudut sahaja, khususnya ekonomi. Yang lain – emosi dan rohani diketepikan sehingga membawa akibat lebih dahsyat meragut jutaan nyawa tidak berdosa. Pendek kata, pendidikan gagal dalam membina penghidupan mempunyai ‘roh.’
Malah dalam 14 unsur bagi kempen Sekolahku Sejahtera, roh hatta rohani tercicir. Dalam acuan pendidikan semasa yang menitikberatkan pasaran berpaksikan modal insan menjadi maha penting. Tidak dapat tidak, jelas FPK telah dikesampingkan serentak gagal mencorakkan acuan sendiri untuk mengasuh generasi insan sejahtera melewati modal insan.
Malang sekali ini terbiar sejak begitu lama dan sebab itu jugalah kedudukan pendidikan dalam kerangka Malaysia bertembung cabaran Covid-19 menjadi tidak menentu dan kucar-kacir. Ia langsung tidak sesuai walaupun dahulunya dianggap terbaik dan sempurna. Kini Covid-19 mendedahkan pelbagai kelemahan yang tersorok di bawah cogan ‘bertaraf dunia’ selaras amalan pengamal dan pengubal dasar yang sendiri kontang rohnya.
UNESCO
Ramai yang terpedaya dalam hal ini seantero, dan Malaysia tidak terkecuali sejak begitu lama lagi apabila FPK tidak ditakrif dan dilaksanakan dengan jujur dan ikhlas. Seharusnya pengajar ini dipupuk kembali agar menjadi celik mata kalau tidak pun hati sanubari.
Pertubuhan Pendidikan Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sudah pun memulakan proses ini tiga tahun lalu sebelum Covid-19 melanda. Adakah peranan anggota pendidikan Malaysia dapat mainkan di peringkat dunia?
Maka di sinilah insan sejahtera bernama Mohd. Fadli Salleh atau lebih dikenali Cikgu Fadli mula mendapat perhatian tatkala melangkah berani dengan mengemukakan pelbagai soalan serta kemusykilan kepada pihak berwajib. Itupun diberitakan selepas melakukannya beberapa kali mengikut tatacara rasmi tetapi mengeluh hanya mendapat sambutan dingin ala pra-Covid-19.
Ada pihak yang telah menegur hal sedemikian sebagai sesuatu yang kurang sopan dalam peradaban berilmu apa lagi bermaruah. Lantas, tidak terasa desakan untuk mengambil peduli serta tindakan memperbetulkan hal yang di luar jangkaan.
Apatah lagi kerana tiada kehilangan nyawa untuk ‘merunsingkan’ khalayak teramai. Amnya sekiranya ada, barulah pihak berkenaan menggeragas melancarkan itu dan ini sebagai tanda peduli dan bertanggungjawab.
Kadangkala ini menjadi luar jangkaan kerana tidak setimpal dengan kesilapan yang didakwa berlaku kononnya. Tragedi dalam kes Cikgu Fadli dianggap sedemikian rupa tatkala berkongsi surat rasmi daripada Kementerian Pendidikan (hatta, Penghidupan) yang menggugat akan membuang kerja daripada perkhidmatan awam atau diturunkan pangkat kerana menyalahi tatacara tingkah laku.
Sekali pandang kelihatan begitu sekali tegasnya bagi pihak berwajib bertindak membetulkan keadaan. Syabas! Sudah barang tentu ketegasan yang ditunjukkan bersandar kepada bukti kukuh lagi mudah difahami ramai. Anehnya, langkah tersebut tidak mendapat sambutan positif daripada khalayak ramai yang merasakan Cikgu Fadli tidak menerima layanan saksama menurut ribuan maklum balas media sosial tentang kes berkaitan.
Sungguhpun begitu, kes ini berakhir dengan menarik apabila ura-ura menghukum Cikgu Fadli dimansuhkan sama sekali. Justeru, beliau dianggap sebagai ‘wira’ demi mengembalikan roh pendidikan seperti diamanahkan untuk penghidupan yang penuh bermaruah. – UTUSAN
PROFESOR Emeritus Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak ialah Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










