Jangan ahli politik klisekan ungkapan ‘demi rakyat’ - Utusan Malaysia

Jangan ahli politik klisekan ungkapan ‘demi rakyat’

SLOGAN ‘demi rakyat’ digunakan secara meluas semasa kempen pilihan raya, namun setelah menang, rakyat seolah-olah ditinggal terbiar begitu sahaja.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SETIAP kali datangnya pilihan raya, rakyat sering dijadikan cagaran utama. Ungkapan ‘demi rakyat’ kedengaran di mana-mana. Ini baik bagi kalangan yang menawarkan diri untuk menjadi calon, mahupun parti-parti politik yang mahu bertanding.

Kata-kata yang kerap terpacul daripada bibir, “Aku bertanding untuk berkhidmat demi rakyat” dan “Parti kami bertanding demi memperjuangkan nasib rakyat.”

Benarkah demi rakyat? Kalau benar demi rakyat, tentu mereka yang ingin menawarkan diri untuk bertanding sedia mengukur latar belakang kelayakan diri secara jujur sebelum dinilai oleh pihak lain.

Apa yang penting untuk diambil kira ialah tentang penerimaan rakyat di kawasan yang mahu ditandingi. Termasuk aspek mesra rakyat, keupayaan memimpin di samping latar belakang pengalaman, akademik dan tidak tercalar di mana-mana.

Juga, kalau benar berslogankan ‘demi rakyat’, tentu tidak timbul isu perebutan ingin menjadi calon sehingga menyulitkan pihak pengurusan parti membuat keputusan.

Malah, ada kes-kes berunsur ugutan seperti, “Kalau tidak benarkan aku bertanding, aku akan buat kacau.” Sedangkan, kalaupun dibenar bertanding, kepastian mengalami kekalahan sudah jelas terbayang.

Tidak tahu bagaimana pula mahu diterjemahkan oleh kalangan mereka yang sudah beberapa kali bertanding dan selalunya tewas, tetapi masih mahu menawar diri memasuki gelanggang pertandingan? Betulkah pegangan mereka demi rakyat?

Ada pula yang sudah beberapa penggal menjadi wakil rakyat masih terus ingin bertanding seolah-olah tidak ada lagi mana-mana individu yang layak di kawasan berkenaan. Kononnya demi rakyat, pada hal rakyat sudah memberi isyarat yang mereka sudah tidak bersedia lagi memberi sokongan.

Ini mungkin bertolak daripada terdapatnya unsur-unsur yang tidak menyenangkan hati rakyat seperti soal prestasi perkhidmatan atau dilihat bersikap suka mengaut kepentingan diri yang agak keterlaluan.

Islam meletakkan beberapa garis panduan kepada umatnya berhubung dengan bab memegang amanah dan meminta jawatan. Agar tidak sewenang-wenangnya untuk terus mendapat sesuatu jawatan atau kedudukan begitu sahaja tanpa ilmu dan kelayakan.

Nabi SAW bersabda: “Kamu semua akan sukakan kepada jawatan, tetapi ia boleh menjadi penyesalan di hari akhirat kelak, kerana pada permulaannya terdapat nikmat, namun pengakhirannya ia menjadi pengikat yang jahat.” (Riwayat al-Bukhari)

Menjadi pemimpin adalah memikul amanah dan tanggungjawab. Bagaimanapun, kewajaran memberi laluan kepada kalangan wakil-wakil rakyat yang terbukti ‘prestasi tinggi’ tidak perlu berbangkit. Lebih-lebih lagi dalam kalangan mereka yang berjaya menyumbang perkhidmatan dalam kerajaan dengan cemerlang.

PERPECAHAN

Namun, tidak pula bermakna mereka yang diberi tempat di dalam kerajaan boleh secara automatik dianggap cemerlang. Rakyat dapat mengukur keupayaan sebenar mereka.

Tegasnya, ungkapan demi rakyat tidak sepatutnya digunakan sewenang-wenangnya. Banyak pengalaman yang rakyat temui, slogan demikian digunakan secara meluas semasa kempen pilihan raya, namun setelah menang, rakyat seolah-olah ditinggal terbiar begitu sahaja. Sedar-sedar, lima tahun kemudian mula kembali menemui rakyat.

Kalau benar demi rakyat, parti-parti politik yang berjuang atas asas yang sama, misalnya untuk memastikan kedaulatan agama dan bangsa terpelihara, tentu akan mengendurkan sentimen supaya dapat mewujudkan kesepaduan sesama sendiri.

Apa makna demi rakyat jika masing-masing tidak mahu bertolak-ansur mencari titik penyelesaian terbaik? Sepatutnya carilah ruang perdamaian, bukan melebar jurang perpecahan.

Tidakkah menguatkan yang sudah tegak terbina lebih baik daripada mengasingkan kelompok secara berselerak tanpa tujuan jelas, matlamat yang menentu?

Demi rakyat sepatutnya segala usaha dan tumpuan dijuruskan untuk memastikan kebajikan rakyat terbela baik dalam konteks pembangunan umum mahupun melayani keperluan kelompok atau individu tertentu.

Sampan kolek bersaiz kecil, pelayarannya sering terumbang-ambing digoncang gelombang. Sejauh manalah sangat berada di atas kolek seumpama itu mampu menyusur ke tengah mengaut hasil atau boleh menyelamat pihak lain jika berlaku kecemasan.

Sebab itu, ramai berpendapat, lebih baik dan selamat berlayar di atas bahtera lebih besar, yang mampu meredah samudera dan gagah membelah lautan.

Jadi, periksalah kemampuan sebenar sebelum melaung-laungkan ungkapan demi rakyat dalam khalayak media atau di atas pentas-pentas politik.

Bayangkan betapa kecewanya rakyat pelbagai peringkat dan segmen sosial, apabila mereka menaruh harapan tinggi pada setiap kali dipertuturkan demi rakyat, sedangkan itu sekadar kempen politik murahan musim pilihan raya.

Hentikan meremehkan emosi dan harapan rakyat. Mereka boleh menilai berapa banyak sudah janji yang ditabur menjelang pilihan raya terbiar tanpa ditunai.

Lebih memualkan rakyat, apabila mandat sudah diberi, beribu alasan pula sengaja didatangi. Timbul alasan misalnya, “Janji di dalam manifesto bukan seperti janji di dalam kitab suci” atau “Kami parti baharu, mana mungkin menyamai parti yang sudah lama memerintah.”

Awas manis kata di bibir sahaja, kemudian hari lain bicara. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×