KUANTAN: Setiap bulan dianggarkan kira-kira RM84 juta dikutip menerusi cukai ses getah yang dikenakan kerajaan terhadap 500,000 pekebun kecil.
Sejak 1952, bagi membiayai dan melaksanakan rancangan tanam semula kebun getah pekebun kecil, kerajaan meluluskan Ordinan Kumpulan Wang Perusahaan Getah (Penanaman Semula) 1952 yang memperuntukkan kutipan cukai ses RM0.14 sen sekilogram getah.
Daripada kutipan ses ini, 10 sen dikumpulkan untuk dipulangkan sebagai ‘bantuan’ tanaman semula getah manakala empat sen lagi diperuntukkan untuk penyelidikan.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM), Datuk Mohd. Firdaus Abdullah berkata, setiap bulan dianggarkan pekebun dapat menghasilkan 1,200 kilogram getah untuk dua hektar ladang.
“Dianggarkan, cukai ses dibayar pekebun untuk sebulan adalah 1,200×0.14×500,000 penoreh yang membabitkan RM84 juta.
“Jumlah RM84 juta sebulan itu hanya membabitkan pekebun getah dan tidak melibatkan pengusaha ladang yang turut dikenakan cukai terbabit, dengan jumlah sama 0.14 sen.
“Jika ditambah pengusaha ladang getah, jumlah cukai ses dikutip dianggarkan lebih RM1 bilion setahun. Ke mana duit cukai itu dibelanjakan dan apa hasilnya? Sebab nasib penoreh masih sama sejak sekian lama,” katanya di sini semalam.
Selama 145 tahun wujud bermula 1877, pelbagai permasalahan berlaku dalam industri itu terutama isu ketidakstabilan harga sekali gus menyebabkan nasib 500,000 penoreh tidak banyak berubah sehingga kini.
Utusan Malaysia pada Jumaat lalu melaporkan, ramai pekebun tidak sanggup lagi meneruskan tanaman getah sebagai sumber pendapatan apabila harga komoditi itu tidak pernah stabil dan kini berada paras terendah iaitu RM2.30 hingga RM2.40 sekilogram.
Mereka berpendapat, bertukar kepada kelapa sawit lebih menguntungkan apabila mampu memperoleh pendapatan sehingga RM3,000 sebulan untuk 2.42 hektar ladang berbanding RM1,200 bagi keluasan sama untuk kebun getah.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus mempersoalkan ke mana duit cukai RM84 juta tersebut dibelanjakan terutama pada setiap bulan.
“Adakah ia dibazirkan dengan disalurkan setiap bulan kepada lebih lima agensi yang ditubuhkan bagi menjaga industri serta kebajikan pekebun dan penoreh getah,” soalnya.
Beliau berkata, kerajaan disaran supaya mewujudkan satu agensi sahaja bagi menguruskan pekebun kecil getah seperti Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).
“Sekarang tidak perlu lagi banyak agensi urus getah, ambil contoh MPOB, walaupun ada hampir satu juta pekebun kecil sawit, ia berjaya diuruskan oleh agensi terbabit.
“Getah juga perlu agensi tunggal seperti MPOB yang mana berperanan memacu kemakmuran industri getah negara melalui penyelidikan, pembangunan dan perkhidmatan yang cemerlang,” katanya.
Beliau berkata, apabila wujud satu agensi tunggal menguruskan industri getah, ia sekali gus dapat mengelakkan pembaziran khususnya duit cukai ses yang dikutip dari pekebun dan pengusaha ladang. – UTUSAN










