Siapakah ‘dewi’ pilihan Malaysia?

Siapakah ‘dewi’ pilihan Malaysia?

ROKET Artemis 1 menjalani proses persiapan untuk pelancaran di Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida, Amerika Syarikat pada 17 Ogos lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, saya berkesempatan menemu bual Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah. Antara topik sangat penting disentuh beliau adalah dilema Malaysia untuk memilih kerana terdapat dua projek besar antarabangsa yang mempunyai misi sama bagi membawa manusia ke bulan dan seterusnya ke planet Marikh.

“Kita hendak melihat dahulu apakah terma dan syarat kepada sesebuah negara yang ingin menyertai projek berkenaan. Adakah ia menguntungkan Malaysia, merugikan negara atau menjerat kita dengan tanggungjawab yang tidak dapat dipikul?” katanya.

Projek terbabit ialah Artemis Accords diketuai Amerika Syarikat (AS) dan satu lagi Projek Chang’e dikepalai China dengan kerjasama Russia.

Artemis Accords menyasarkan untuk mendaratkan angkasawan wanita dan bukan kulit putih pertama di bulan pada 2025 manakala Projek Chang’e dengan sasaran hampir sama tetapi lebih lewat pada 2030.

Konsortium antarabangsa disertai 21 negara bercadang menyempurnakan ujian pertama ‘tanpa membawa manusia’ membabitkan pelancaran roket Artemis 1 yang mengandungi sistem pelancaran angkasa lepas (SLS) dan kapsul kru Orion pada 27 September ini setelah dua kali percubaan dari Pusat Angkasa Lepas Kennedy, Florida, AS pada 29 Ogos dan 3 September lalu ditangguhkan kerana beberapa masalah teknikal.

Selaras matlamat untuk terlibat secara besar-besaran dalam teknologi angkasa lepas dengan sasaran menjelang 2030, sebanyak RM3.2 bilion Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) disumbang oleh sektor itu, Malaysia sudah pasti tidak boleh terlepas daripada menyertai projek terbabit yang menawarkan peluang pembekalan komponen roket dan satelit bernilai berbilion ringgit.

Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (NASA) AS juga merancang untuk melombong logam berharga di asteroid 16 Psyche terletak di antara planet Marikh dan Musytari yang dianggarkan bernilai AS$10 kuintilion (nombor satu diikuti oleh 18 sifar).

Lagipun, jiran kita, Singapura mengatasi sebagai negara Asia Tenggara pertama yang menyertai Artemis Accords pada Mac lalu. Republik itu juga jauh lebih maju berbanding Malaysia dalam industri angkasa lepas.

Menurut Menteri Perdagangan dan Industri republik itu, Gan Kim Yong, Singapura mempunyai lebih 50 syarikat dengan lebih 1,800 tenaga kerja profesional dalam bidang angkasa lepas. Saya difahamkan, Malaysia kini hanya mempunyai lapan syarikat yang aktif dalam bidang berkenaan.

Negara-negara lain yang menyertai Artemis Accords ialah dua negara Asia iaitu Jepun dan Korea Selatan. Negara-negara Islam pula ialah Bahrain, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE).

Sekutu-sekutu AS pula ialah Australia, United Kingdom, Kanada, Perancis, Israel, Itali, Luxembourg, Mexico, New Zealand, Poland, Romania dan Ukraine serta wakil negara Amerika Latin ialah Brazil dan Colombia.

Bagaimanapun, setelah membuat sedikit bacaan berhubung projek berkenaan, saya tertanya-tanya kenapa kedua-dua projek terbabit menggunakan nama dewi? Projek Chang’e adalah sempena nama dewi bulan.

Dewi Artemis pula ialah adik kembar perempuan kepada dewa Greek-Rom, Apollo. NASA telah menamakan projek pendaratan manusia ke bulan dari 1968 hingga 1972 sebagai Projek Apollo berdasarkan nama yang dikatakan diberi oleh Pengurus agensi itu, Abe Silverstein.

MITOS

Projek Apollo paling berjaya kerana melibatkan enam penerbangan ke angkasa lepas dan telah mendaratkan 12 orang di bulan. Nama lain bagi dewa Apollo ialah Apollyon, Abaddon, Enki dan Lucifer.

Dewa dan dewi ini yang dianggap perantara antara Tuhan dan manusia selalunya dikaitkan berasal dari bintang yang jauh, dengan Apollo dikatakan berasal dari bintang Sirius.

Dewa dan dewi itu dikatakan berperang dengan dewa dan dewi dari bintang Pleiades yang patung setinggi 42.7 meter dikatakan tertinggi di dunia boleh dilihat di Batu Caves, Selangor.

Dewa dan dewi dari bintang Sirius dikatakan mempunyai bentuk kepala yang memanjang seperti terdapat dalam catatan Mesir kuno manakala dewa dan dewi dari bintang Pleiades mempunyai wajah mirip penduduk Nordik (Eropah utara) dari Denmark, Finland, Iceland, Norway dan Sweden.

Harus diingat, nama-nama watak dalam mitos ini tidak semestinya merujuk kepada entiti sama seperti disebut dalam al-Quran dan hadis walaupun hampir serupa.

Mungkin ada yang bertanya, kenapa dibazirkan ruang yang terhad dalam kolum ini untuk menulis tentang kisah-kisah mitos atau penceritaan zaman dahulu yang dianggap benar?

Bagi yang bertanya soalan itu, saya tulis semula ungkapan ahli fizik terkenal dunia, Albert Einstein: “Jika anda mahu anak anda menjadi pintar, bacalah mereka cerita dongeng. Jika anda mahu mereka menjadi lebih bijak, baca lebih banyak cerita dongeng.”

Jika betul cerita khayalan berkenaan dewa dan dewi tidak penting, kenapa filem-filem Hollywood menjadikan ia watak utama?

Baru-baru ini heboh filem terbitan Marvel Studios, Thor: Love and Thunder tidak akan ditayangkan di pawagam di Malaysia kerana banyak babak yang dikatakan mempromosi dakyah golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Nama lain bagi Thor yang juga bapa kepada Apollo dan Artemis ialah Zeus, Perun, Enlil dan Satan.

Filem sedemikian cuba dipaksa kepada kita untuk menontonnya sehingga menimbulkan dilema kepada majoriti rakyat Malaysia menolak tabiat songsang itu.

Bagaimanapun, beberapa pihak meramalkan dilema itu akan berakhir apabila stesen penyiaran beralih sepenuhnya kepada platform video atas permintaan (VOD) sekali gus menyebabkan penerbit filem terpaksa menghasilkan karya mengikut selera penduduk majoriti.

VOD seperti unifiTV yang ditawarkan oleh Telekom Malaysia Berhad akan membolehkan penonton memilih dan menonton video atas permintaan sendiri.

Kita mungkin dapat menamatkan dilema dipaksa menonton filem songsang tetapi bilakah akan berakhir dilema Malaysia yang perlu memilih antara dua dewi ini? – UTUSAN

PENULIS ialah wartawan Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×