Perpaduan kita rapuh, saling curiga

Perpaduan kita rapuh, saling curiga

HUBUNGAN etnik yang rapuh di negara ini ibarat hanya melekat antara satu sama lain dan boleh tercabut dengan senangnya pada bila-bila masa. – GAMBAR HIASAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HUBUNG kait dan lebih penting lagi, dampak perpaduan di negara ini terhadap keselamatan yang ikut dibincangkan semasa sambutan Bulan Kebangsaan lalu perlu terus digarapkan.

Ini bukan sahaja untuk memperoleh pemahaman baik antara kedua-duanya, lebih penting lagi untuk melahirkan kesedaran yang diikuti keinsafan tentang seriusnya isu perpaduan ini apabila tidak ditangani dengan baik.

Secara mudahnya, keselamatan negara merujuk kepada ikhtiar dan tindakan kerajaan untuk melindungi negara, khususnya menyelamatkan nyawa rakyat daripada ancaman dihadapi.

Ancaman yang selalu disenaraikan ialah peperangan dan seumpamanya. Ini berupa ancaman ketenteraan. Ia juga boleh bersifat bukan ketenteraan yang terdiri antaranya ekonomi, politik, kesihatan, tenaga, ekologi dan siber.

Daripada takrif umum ini, kita sudah dapat menduga bahawa keselamatan negara bertujuan memastikan wujudnya keadaan aman dan stabil dalam sesebuah negara itu, lebih-lebih lagi apabila diancam, sama ada dari luar ataupun dari dalam. Dalam pada ini, perpaduan di negara ini pada masa ini adalah ancaman dari dalam.

Perpaduan negara, hasilan kajian beberapa pihak didapati berada pada tahap sederhana sahaja yang dipanggil kesepaduan sosial, yakni hubungan etnik yang hanya wujud pada tahap permukaan.

Walaupun masyarakat umum tidak mempunyai istilah khusus untuk menilai keadaan perpaduan dicirikan oleh pergaulan terhad, perkenalan tidak mendalam dan perasaan saling mencurigai antara satu etnik dengan yang lain, mereka rata-ratanya bersetuju bahawa tahap perpaduan begini sangat perlu dipertingkat.

Dengan tahap perpaduan negara pada tahap kesepaduan sosial sahaja walaupun setelah diikhtiarkan untuk mengatasi tiga sifat yang disebutkan itu, tidak dapat dinafikan ia berupa ancaman kepada keselamatan negara. Bagi sesetengah pihak, ia dibimbangi sebagai retak menanti belah sahaja.

Oleh itu, ia yang memang mengancam keselamatan negara kerana telah banyak menjejaskan institusi negara dalam konteks memusnahkan sistem sosialnya hendaklah bukan sahaja ditangani segera, tetapi juga diambil tanggungjawab serta-merta oleh kerajaan dan rakyat.

Sehubungan ini, kedua-duanya harus mempunyai keinginan tulen untuk menyelesaikan masalah perpaduan yang runcing ini untuk menjadikannya lebih utuh, iaitu bersatu padu dalam erti kata sebenar-benarnya.

Ini kerana hubungan antara etnik yang rapuh ini ibarat ia hanya melekat antara satu sama lain dan boleh pun tercabut dengan senangnya pada bila-bila masa.

Untuk kerajaan, ia harus mempunyai kemahuan politik, iaitu keazaman pemerintah untuk bukan sahaja menyatakan tetapi melakukan perkara tertentu dengan bersungguh-sungguh bagi menghasilkan sesuatu yang sangat diperlukan negara.

RAPUH

Bagi rakyat pula, mereka harus memiliki kemahuan sivil, yakni keazaman kewatanan untuk betul-betul mewujudkan suasana kondusif yang penting bukan sahaja bagi kelangsungan hidup mereka sendiri tetapi juga untuk negara tercinta.

Sehubungan kemahuan ini, sudah tiba masanya, malah sudah sepatutnya dilakukan dahulu lagi, kedua-dua kerajaan dan rakyat bukan sahaja perlu menghayati hasrat ini secara ikhlas tetapi betul-betul melakukan peranjakan daripada perpaduan tahap sosial kepada yang lebih memberangsangkan.

Antaranya tahap psikologi, iaitu kesediaan etnik bukan asal untuk lebih mengidentifikasi diri dengan etnik Melayu selaku kelompok asal secara integrasi untuk tujuan perpaduan negara yang utuh.

Sebenarnya isu perpaduan rapuh ini yang ada hubung kait langsung dengan keselamatan negara, khususnya dari segi keselamatan ibu pertiwi hendaklah ditangani sesegera yang boleh.

Secara umumnya, keselamatan ibu pertiwi berupa ikhitiar dan tindakan untuk memastikan negara utuh dari segi ikatannya sebagai ibu pertiwi.

Dengan ini, ia bermakna rakyat perlu memiliki perkongsian budaya bersama selain ideologi kerakyatan sekutu, pemahaman kenegaraan serupa, aspirasi nasional sama, gagasan kemakmuran seragam bagi mengikat mereka untuk mendukung ibu pertiwi sepunya.

Sesungguhnya ikhtiar dan tindakan begini melalui gandingan kerajaan dan rakyat akan melindungi negara tercinta ini. Antaranya dengan cara ia akan mengurangkan dan akhirnya membanteras sentimen dan buruk sangka sesama rakyat yang lahir daripada beberapa pengaruh negatif, antaranya dari segi politik, agama, budaya, sosial dan kaum.

Dengan ini, keselamatan negara khususnya dari segi keselamatan ibu pertiwi bertujuan bukan sahaja semata-mata melindungi kepentingan rakyat tetapi juga untuk menjamin aspirasi muhibah dan cara hidup kepelbagaian sedia ada dapat terus wujud selama-lamanya.

Sehubungan ini, keterangkuman, kebersamaan dan kesyukuran sebagai nilai teras kepada Aspirasi Keluarga Malaysia bukan sahaja akan menganjurkan kejelasan hubung kait perpaduan negara dengan keselamatan ibu pertiwi ini, ia sebenarnya juga pasti menjitukan penggabungan dan kesatuan rakyat sebagai warganegara.

Kesemua ini sebetulnya akan mengikat kuat semua rakyat tanpa mengira etnisiti dan kewilayahan kepada negara tercinta ini, sebagai sama-sama memiliki ibu pertiwi yang sama dengan pula destini yang sama-sama ditetapkan mereka.

Melalui perasaan nasionalistik lagi patriotik ini, semua rakyat akan mempunyai perasaan bangga, sayang dan setia yang serupa, selain tidak berbelah bahagi kepada Malaysia. – UTUSAN

PROFESOR Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong ialah Felow Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Majlis Profesor Negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×