PADA 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak kerana salah guna kuasa, pengubahan wang haram dan pecah amanah jenayah ke atas dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta dan beliau kini berada di Penjara Kajang.
Tetapi ini bukan satu-satunya pertuduhan berkaitan rasuah yang dihadapinya kerana beliau mempunyai empat lagi kes mahkamah yang belum selesai dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Terdapat beberapa kes berprofil tinggi lain yang kini berada di pelbagai peringkat pendakwaan. Terbaru isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta kerana meminta dan menerima rasuah dalam projek tenaga hibrid solar RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.
Kes berprofil tinggi lain yang masih dibicarakan atau menunggu keputusan mahkamah termasuk Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Samad.
Bagi banduan berprofil tinggi terutama ahli politik yang dahulunya hidup mewah, penjara adalah ‘neraka di dunia’. Kata bekas banduan dari Penjara Kajang, keadaan sel sangat gelap, tidak selesa dan boleh membuatkan seseorang mengalami kemurungan.
Bagi tujuan ini, terdapat lima falsafah asas hukuman yang dianggap popular oleh pakar kriminologi untuk menghukum banduan tanpa mengira status mereka dalam masyarakat.
PEMBALASAN
Konsep an eye for an eye atau pembalasan setimpal dengan kesan diterima oleh mangsa adalah salah satu hukuman tertua yang tergolong dalam kategori hukuman berat. Jika seseorang melakukan kesalahan membunuh, maka hukuman dikenakan kepadanya juga adalah mati/bunuh sebagai pembalasan.
Pakar percaya, pembalasan adalah alasan munasabah dan memberi kesan pada pesalah. Pendekatan ini bertujuan menghukum banduan kerana mereka berhak dihukum setimpal.
Pembalasan telah dikritik ‘rigid’ dan terhad dalam kapasitinya hanya untuk mengubah tingkah laku masyarakat. Bagaimanapun, bentuk hukuman ini masih kekal popular dan diguna pakai oleh banyak negara termasuk Malaysia.
MEMATAHKAN KEUPAYAAN
Konsep hukuman ini bertujuan mengurangkan dan menyekat banduan mengulangi jenayah pada masa hadapan. Pendekatan ini menjadi cara mengasingkan penjenayah daripada masyarakat supaya mereka tidak lagi boleh membahayakan atau melakukan jenayah dalam kalangan orang awam.
Sebagai contoh, Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) 2009 memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000; mengikut mana-mana yang lebih tinggi.
Ramai menyuarakan rasa kagum kepada China kerana melaksanakan hukuman mati ke atas pegawai kerajaan disabit kesalahan rasuah, malah ada yang mencadangkan kita harus mencontohi negara itu.
Bekas Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh berkata, orang yang terlibat dengan rasuah patut dihukum tembak mati. Walaupun hukuman mati selalunya dianggap wajar sebagai suatu konsep pencegahan tetapi sama ada ia benar-benar boleh menghalang banduan masih dipertikai dan diragui.
Cuma apa yang tidak boleh dipertikaikan ialah apabila dihukum mati, seseorang tidak mampu untuk melakukan kesalahan selanjutnya. Oleh itu, hukuman mati dikatakan tidak dapat dinafikan ‘berkesan’ atau ‘penyelesaian muktamad’ kepada banduan.
Di Malaysia, seperti Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kes pecah amanah jenayah (CBT) oleh penjawat awam/ejen boleh dihukum penjara dua tahun atau sehingga 20 tahun dan dengan sebat dan denda. Peruntukan rotan boleh dimasukkan ke dalam Akta SPRM 2009.
Ada pendapat mengatakan, penjara disifatkan sebagai sekolah untuk jenayah, tempat pembiakan jenayah dan untuk melatih banduan biasa melakukan jenayah lebih berat atau melahirkan penjenayah profesional.
PENCEGAHAN
Pencegahan bertujuan mencegah jenayah masa hadapan. Ketakutan untuk masuk penjara inilah yang diharapkan akan membuatkan seseorang itu berfikir semula sebelum melakukan jenayah tersebut. Terdapat dua jenis pencegahan, iaitu pencegahan am dan pencegahan khusus.
Pencegahan am bertujuan menghalang orang lain daripada melakukan jenayah, manakala pencegahan khusus menghalang banduan daripada mengulangi jenayah.
Sesetengah aliran pemikiran percaya jika tujuan utama hukuman adalah untuk memberikan kesakitan fizikal kepada banduan, ia tidak mencapai matlamat utama kecuali jika menyedari betapa seriusnya kesalahan dilakukan olehnya dan untuk bertaubat.
PEMULIHAN
Pemulihan merujuk kepada proses melatih semula dan mencorak tingkah laku banduan untuk menghalang mereka daripada melakukan jenayah sama atau jenayah lain pada masa hadapan.
Selain proses sosialisasi, banduan diberi peluang untuk memperoleh dan mengembangkan kemahiran, memberikan khidmat merawat dan memulihkan penagih dadah dan sifat agresif, juga untuk memastikan pembaharuan atau belajar cara menangani cabaran yang akan dihadapi selepas dibebaskan.
Kepakaran, kurikulum pendidikan semula dan integriti pegawai penjara adalah penting untuk menjamin kejayaan pemulihan banduan.
RESTORASI
Restorasi adalah hasil daripada proses pemulihan di mana ia mengembalikan banduan kepada masyarakat dengan keyakinan bahawa mereka boleh berintegrasi semula dengan selamat.
Pendekatan ini memfokus kepada pemulihan, pembaikan dan transformasi melalui berbaik semula (reconciliation) dengan mangsa dan masyarakat serta tidak mengulangi kesalahan sama. Pendekatan terkini ini mengurangkan pesalah berulang.
Sistem penjara Norway adalah unik yang hanya menyekat kebebasan banduan. Sistem ini dianggap sebagai yang terbaik di dunia. Banduan mempunyai akses kepada kemudahan seperti bilik mandi peribadi, peti sejuk, televisyen dan persekitaran luar dengan kawalan keselamatan paling rendah.
Menariknya, kata sesetengah pakar, Norway antara negara mempunyai kadar pesalah berulang paling rendah di dunia, manakala Singapura mempunyai penjara terburuk di mana banduan hanya dibekalkan dengan tikar jerami serta dua selimut sebagai amaran agar tidak cari pasal dan melakukan jenayah di republik itu. – UTUSAN
DATUK Seri Akhbar Satar ialah penulis di akhbar dan pemegang kursi profesor di Institut Jenayah & Kriminologi, HELP University.










