KOTA KINABALU: Malaysia dijangka mempunyai 244 kerusi di Dewan Rakyat pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya kerajaan meluluskan peruntukan 35 peratus kerusi Parlimen yang dituntut oleh Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA63).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar berkata, jumlah itu susulan pertambahan sebanyak 10 peratus atau 22 kerusi baharu daripada 25 peratus kerusi sedia ada di kedua-dua negeri tersebut.
“Kalau Parlimen meluluskan untuk menambah bilangan kawasan Parlimen bagi Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perlembagaan mengikut Perkara 113 (3), maka, tanggungjawab SPR melaksanakan urusan persempadanan khas bagi tujuan tersebut.
TAMBAH
“Jika ini dilakukan, maka jumlah yang ada sekarang, iaitu 222 kerusi boleh ditambah dengan 10 peratus lagi kawasan Parlimen baharu yang diluluskan oleh Parlimen untuk kedua-dua negeri ini.
“Namun, jika perkara ini diterima dan diluluskan, saya berpendapat kerusi Parlimen tambahan juga wajar dibuat dalam beberapa negeri di Semenanjung terutama di Wilayah Persekutuan, Selangor, Johor, Perak, Kedah, Terengganu dan Kelantan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Jumaat minggu lalu, Mesyuarat Majlis Khas Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dilaporkan memperakui langkah mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak.
Perakuan itu menyaksikan kedua-dua negeri bakal memiliki 78 daripada 222 kerusi Parlimen.
Pada 1963, Sabah mempunyai 16 kerusi, Sarawak (24) dan Singapura (15) (sebelum meninggalkan Malaysia) yang mewakili 35 peratus daripada keseluruhan 159 kerusi Parlimen ketika itu. Baki 65 peratus atau 104 kerusi milik Tanah Melayu.
Bagaimanapun, Wan Ahmad berpendapat, usaha mendapatkan semula 35 peratus daripada 222 kerusi Parlimen untuk Sabah dan Sarawak akan merumitkan urusan persempadanan di seluruh negara sekali gus menjejaskan kawasan Parlimen di Semenanjung.
Katanya, keadaan itu akan menyebabkan jumlah kerusi Parlimen di Semenanjung berkurang jika kerajaan mengekalkan 222 kerusi keseluruhan dan 35 peratus daripadanya milik Sabah dan Sarawak.
Terkini, 166 atau 75 peratus daripada 222 kerusi Parlimen di Semenanjung, manakala baki 25 peratus atau 56 kerusi untuk negeri-negeri Borneo iaitu Sarawak (31) dan Sabah (25).
TIDAK STABIL
Mengulas lanjut, beliau berkata, jika berlaku pertambahan kerusi bagi Sabah dan Sarawak pada PRU-16, bilangan kerusi Parlimen di Semenanjung juga perlu ditambah terutama di kawasan-kawasan bandar kerana mengikut pembahagian kawasan dan jumlah pemilih, wujud ketidakstabilan antara satu Parlimen dengan Parlimen yang lain.
“Di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan, ada Parlimen yang mempunyai pengundi melebihi 120,000 manakala yang lain agak kecil. Oleh itu, peruntukan untuk kawasan, bebas tugas dan tanggungjawab wakil rakyat berbeza dan tidak adil.
“Parlimen tidak sesuai jika jumlah pemilihnya terlalu kecil, selain ada pula sekurang-kurangnya dua kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam sesuatu Parlimen. Maka, sebaiknya setiap kawasan di Sabah dan Sarawak jumlah pengundinya perlu lebih kurang sama dengan di Semenanjung,” katanya.
Selain itu, kata Wan Ahmad, urusan persempadanan bagi Sabah, Sarawak dan Semenanjung boleh dibuat secara berasingan, namun perlu dibentang dan dibahas di Parlimen.
“Jika buat kajian persempadanan semula untuk Sabah dan Sarawak, kenapa tidak buat kerusi tambahan di Semenanjung sekali? Di Terengganu pun, sejak 1999 hingga sekarang lapan Parlimen tidak bertambah,” kata beliau. – UTUSAN










