PETALING JAYA: Pas akan memberi fokus utama perbincangan kepada pengukuhan Perikatan Nasional (PN) menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dalam muktamar tahunannya September ini.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, muktamar kali ini lebih fokus kerana tiada pemilihan diadakan sekali gus membolehkan perwakilan memberi perhatian memperkukuhkan agenda parti.
Katanya, Pas turut menjemput UMNO bersama beberapa lagi rakan parti yang lain ke muktamar berkenaan walaupun menyedari Barisan Nasional (BN) hampir pasti, malah berulang kali menyatakan pendirian mereka untuk bergerak secara solo pada PRU15.
“Persiapan kali ini berjalan lancar dengan muktamar tahunan dewan-dewan akan diadakan di tempat berasingan bermula 1 dan 2 September dan seterusnya acara kemuncak pada 3 dan 4 September di Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut.
“Usul-usul yang akan dibawa ke muktamar kali ini belum dibentangkan lagi dan biasanya akan dihantar kepada Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan). Tetapi saya melihat kali ini, ia lebih menjurus kepada memperkukuhkan PN menjelang PRU15.
“Ini kerana, kita melihat BN seperti hampir pasti untuk bertanding solo pada PRU15 dan kita tiada pilihan dan terpaksa hadapi sebab itu keputusan mereka. Jadi kita akan lebih kepada usaha memperkukuhkan PN,” katanya ketika dihubungi semalam.
Dianggarkan seramai 1,300 perwakilan dari 197 kawasan seluruh negara akan hadir ke Kompleks Pas Kedah di Kota Sarang Semut bermula 3 hingga 4 September ini untuk menyertai muktamar tahunan parti berkenaan yang dijangka terakhir sebelum PRU15.
Difahamkan beberapa penekanan berkaitan gerak kerja pilihan raya akan diumumkan melalui ucapan dasar yang akan disampaikan oleh Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3 September ini.
“Sempena muktamar kali ini, kita juga akan adakan majlis pelancaran jentera pilihan raya peringkat pusat yang akan diadakan pada 3 September. Dengan adanya program sebegini, ia akan memeriahkan lagi penganjuran muktamar,” ujarnya. – UTUSAN










