KUALA LUMPUR: Hanya pindaan pada Peraturan-peraturan Perjalanan Pilihan Raya 1998 dapat mengelakkan mana -mana penyandang kerusi sama ada ahli parlimen atau Dewan Undangan Negeri (DUN) bertindak melompat parti.
Perkara tersebut dikemukan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang menyifatkan pindaan tersebut sebagai langkah terbaik buat masa ini bagi menghentikan kemelut politik selain tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, menerusi pindaan tersebut, kerusi kekal dimiliki oleh parti asal dan diuruskan oleh parti masing-masing.
“Semasa pilihan raya, wakil rakyat disokong partinya, apabila dia buat keputusan lompat parti, kerusi itu seharusnya dikekalkan menjadi milik parti.
“Selain itu, dalam pindaan tersebut juga, mereka yang melompat (parti) perlu diletakkan sebagai wakil bebas dan dia tidak boleh mengundi kalau ada usul tidak percaya atau sebarang usul yang berkaitan dengan pembentukan atau penolakan kerajaan,” kata beliau kepada Utusan Malaysia semalam.
Semalam, Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, pelantikan Menteri Besar Perak kali ketiga di negeri itu selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) bukan sejarah yang boleh dibanggakan.
Malah, dalam titah itu, Sultan Nazrin menyifatkan perkara yang berlaku tersebut jadi cerminan kegagalan dan bukannya kejayaan seseorang pemimpin.
Tambah Wan Ahmad, jika diwujudkan undang-undang anti lompat parti, ia bercanggah dengan Perkara 10(1)(C) Perlembagaan Persekutuan iaitu hak membentuk persatuan, kebebasan bercakap atau kebebasan berhimpun.
Bagaimanapun, pandangan berbeza bagi bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri S. Vickneswaran yang menyifatkan kewujudan Akta Anti Lompat Parti adalah jalan terbaik bagi memastikan tiada ahli parlimen berpaling tadah.
“Contohi India. Mereka ada undang-undang lompat parti, Jadi kita perlu ada undang-undang itu juga,” katanya.
Sementara itu, penganalisis politik Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan Fakulti Ekologi Malaysia, Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Madya Dr. Mohd. Izani Mohd. Zain berkata, mewujudkan tatacara untuk penyandang kerusi semata-mata tanpa ada akta atau undang-undang bagi mereka melompat parti tidak mencukupi untuk menghalang perkara itu berlaku.
Sebaliknya, beliau berkata, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang yang boleh mengenakan hukuman kepada ahli politik lompat parti dan engan undang-undang tersebut dijangka mampu membendung tindakan disifatkan berpaling tadah.
“Namun, walau apa pun, perlu ada iltizam politik dan jangan hanya retorik semata-mata,” ujarnya. – UTUSAN










