AMMAN, Jordan 6 Okt. – Kerajaan diharap dapat terus menghantar pelajar khususnya dalam bidang perubatan dan pergigian Malaysia ke negara ini, kerana mampu melahirkan generasi masa depan yang berkualiti kerana bukan sahaja akan menjadi golongan profesional tetapi juga agamawan.
Duta Besar Malaysia ke Jordan, Datuk Jilid Kuminding berkata, pada masa ini, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah menghentikan tajaan pelajar perubatan ke negara ini atas alasan penjimatan kos pengajian.
Kata beliau, selain itu, bilangan para pelajar tajaan dalam bidang-bidang lain seperti pengajian Islam dan Bahasa Arab juga semakin berkurangan daripada semasa ke semasa.
“Pada 2016, bilangan keseluruhan pelajar menuntut di negara ini (Jordan) adalah seramai 1,600 orang diikuti 1,200 orang (2017) dan 840 orang (2018),” katanya.
Beliau ditemui selepas menghadap Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang mengadakan lawatan kerja ke negara ini, semalam.
Berangkat sama ialah anakanda sulung baginda Puteri Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Menurut Jilid, beliau berharap agar Bajet yang akan dibentangkan kerajaan tidak lama lagi, dapat mempertimbangkan supaya para pelajar terus dihantar melanjutkan pengajian di Jordan.
“Ini kerana, golongan profesional yang dilahirkan di sini (Jordan) berkualiti kerana jika doktor, doktor yang boleh berbahasa Arab atau tiada masalah untuk menjadi imam juga,” katanya.
Dalam pada itu, Jilid menyarankan supaya ahli perniagaan Malaysia membuat persediaan awal untuk merebut peluang perniagaan di Iraq yang kini dalam proses pemulihan daripada konflik.
Katanya, Jordan merupakan pintu masuk ke negara berkenaan.
“Persediaan itu khususnya untuk membina rangkaian ahli-ahli perniagaan dengan negara-negara Asia Barat yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Malaysia.
“Iraq yang sebelum ini dilanda konflik begitu berharap agar Malaysia dapat membantu untuk membangunkan semula ekonomi negara itu,” katanya.
Mengenai dagangan Malaysia dan Jordan, Jilid berkata, nilai dagangan menurun sejak kira-kira tujuh peratus iaitu daripada AS$180 juta (RM746 juta) pada 2016 kepada AS$167 juta (RM692 juta) pada tahun lalu.
Menurutnya kejatuhan itu adalah disebabkan konflik yang berlaku dalam negara Iraq.
“Jadi saya melihat peluang yang amat luas buat ahli perniagaan Malaysia (bidang petrokimia) kerana Iraq begitu mengalu-alukan penglibatan rakyat kita.
“Pada masa ini, produk eksport utama Malaysia ke Jordan adalah petrokimia, minyak sawit dan barangan elektronik manakala YTL (YTL Corporation Berhad) adalah yang terbesar membuat usaha sama dengan sebuah syarikat China dalam industri minyak dan gas,” katanya. – UTUSAN ONLINE











