Pemandu terselamat kereta jatuh tebing setinggi 400 meter di Britain - Utusan Malaysia

Pemandu terselamat kereta jatuh tebing setinggi 400 meter di Britain

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LONDON – Seorang lelaki bernasib baik kerana masih mampu berjalan keluar dari kereta yang dipandunya selepas terhumban jatuh dari tebing setinggi 400 meter (m) ketika melalui sebatang jalan raya dekat perkampungan Lynmouth di Devon, England pagi Sabtu lalu.

Menurut saksi, Patricia Cannock, pemandu berkenaan terpaksa mendaki tebing bukit berbatu selepas kemalangan yang berlaku kira-kira pukul 9 pagi itu dan berjalan ke Pangsapuri Percutian Clooneavin untuk membuat panggilan kecemasan, lapor akhbar Daily Mail.

“Entah bagaimana dia boleh memanjat naik tebing tinggi itu ke pangsapuri tersebut untuk mendapatkan bantuan. Saya tidak berapa ingat bagaimana wajah lelaki berkenaan tetapi dia kelihatan berserabut. Dia tentu mempunyai malaikat pelindung,” katanya.

Memuatkan artikel berkaitan…

Sekeping gambar yang dikongsi menunjukkan kereta itu remuk di dasar tebing berkenaan di tepi jalan A39 berdekatan Bukit Porlock yang terkenal sebagai jalan paling curam di Britain.

Pengurus Kemalangan Pasukan Polis Devon dan Cornwall, Tony Joslin berkata, dia kagum pemandu tersebut dapat menyelamatkan diri memandangkan kereta mangsa terjunam kira-kira 300 hingga 400m dan hanya 10m dari kawasan pesisir pantai.

“Mangsa dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga dan kami telah melakukan ujian pernafasan sebagai rutin setiap kali berlaku kemalangan jalan raya,” ujar Joslin.

Lebih 20 orang anggota bomba, paramedik dan polis terlibat dalam operasi tersebut. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini