KUALA LUMPUR 12 Mac – Kesetiaan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali terhadap Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi ‘usikan politik’ pembangkang dalam sesi soal jawab Sidang Dewan Rakyat hari ini.
Perkara tersebut ditimbulkan Tan Sri Annuar Musa (BN-Ketereh) ketika mengemukakan soalan tambahan mengapa Anwar (PH-Port Dickson) tidak dilantik ke dalam Majlis Tindakan Ekonomi sedangkan beliau pernah memegang jawatan Menteri Kewangan.
Soalan Annuar disambut sindiran Mohamed Azmin yang juga Timbalan Presiden PKR dengan berkata, setelah 20 tahun, baru hari ini Annuar menyokong Anwar.
“Tuan Yang Dipertua, saya kenal lama dengan Ketereh ini. Baru pagi ini nak sokong Port Dickson. Selama 20 tahun, beliaulah yang terlibat menyerang Port Dickson habis-habisan,” katanya.
Tidak habis setakat itu, Annuar kemudian secara sinis membangkitkan pula soalan sama ada Mohamed Azmin akan menyokong Anwar atau sebaliknya jika desas-desus undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berlaku.
“Belum tahu sokong (Anwar), ini cadangan. Nak sokong atau tak sokong bila ada undi tak percaya baru kita tentukan sokong tak sokong.
“Yang kita risau Gombak tak sokong Port Dickson, ini yang kita risau,” katanya mengundang gamat dalam dewan.
Mohamed Azmin walau bagaimanapun menegaskan, isu undi tidak percaya tidak wujud kerana kepemimpinan Pakatan Harapan (PH) menyokong Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.











