SINGAPURA 12 Mac – Bekas pengerusi lembaga pengurusan sebuah masjid di sini mengaku menyeleweng dana yang didermakan kepada masjid berkenaan berjumlah S$370,000 (RM1.1 juta) selama tujuh tahun.
Channel News Asia melaporkan, Ab. Mutalif Hashim, 58, mengaku terhadap enam pendakwaan pecah amanah dengan lapan lagi pertuduhan bakal dipertimbangkan pihak mahkamah.
Mahkamah dimaklumkan Ab. Mutalif didakwa mula menyeleweng dana dari Masjid Darussalam di Commonwealth Avenue West antara 1 Januari 2006 hingga 31 Mac 2013.
Tertuduh memegang jawatan sebagai pengerusi lembaga pengurusan masjid tersebut dari 2003 sehingga Ogos 2010 sebelum menjadi pengerusi sukarela pada Mac 2013.
Ab. Mutalif juga merupakan Pengarah Eksekutif Persatuan Keibubapaan Just (JPA) yang ditubuhkannya dan memegang jawatan sebagai presiden sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan yang diberi nama ADAM.
Perbuatannya terbongkar selepas dia meletak jawatan dan jumlah sumbangan di masjid tersebut semakin bertambah.
Jemaah yang mengunjungi masjid itu akan mendermakan duit untuk dimasukkan ke dalam ‘tabung Jumaat’ dan ‘tabung kebajikan’ yang disediakan dalam premis terbabit.
Ab. Mutalif didakwa mengarahkan sejumlah sukarelawan dan penjaga masjid itu untuk meletakkan kedua-dua tabung tersebut di dalam pejabatnya dengan alasan ingin mengelakkannya dicuri selepas waktu solat.
Lelaki itu kemudiannya didakwa mengambil sejumlah wang berkenaan dan memasukkannya ke dalam beberapa akaun bank tanpa pengetahuan serta pengesahan Majlis Agama Islam Singapura (MUIS) dan pihak masjid terbabit, atau menggunakannya untuk perbelanjaan aktiviti kebajikan ADAM.
Ab. Mutalif juga didakwa memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya sendiri untuk kegunaan peribadi seperti pembayaran kad kredit, melancong serta perubatan.
Wang yang terdapat dalam akaun JPA kebanyakannya digunakan untuk operasi kebajikan seperti bayaran sewa serta utiliti dan ketika dia memegang jawatan sebagai ketua pengarah persatuan itu, Ab. Mutalif menerima bayaran gaji bulanan sebanyak S$7,000 (RM21,081).
Sementara itu, akaun bank Ab. Mutalif yang berbaki S$96,000 (RM289,134) sudah dibekukan oleh Jabatan Hal Ehwal Komersial pada Disember 2013 dan dia dijangka dihadapkan ke mahkamah sekali lagi untuk dijatuhi hukum pada 15 April ini.











