KUALA LUMPUR 15 Feb. – Sebanyak 22,243 saman dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur terhadap pengguna jalan raya sepanjang Op Selamat 14 yang dilaksanakan selama 15 hari sempena Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Ketuanya, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, sejumlah 8,289 daripada saman trafik yang dikeluarkan membabitkan enam kesalahan utama.
“Pihak kami turut menahan 22 orang melibatkan aktiviti pemanduan melulu dan merbahaya di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan.
“Selain itu sebanyak 45 kes daripada 65 kes memandu di bawah pengaruh alkohol didapati positif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Menurutnya, jumlah kemalangan jalan raya dilaporkan mencatat penurunan sebanyak 174 atau 6.7 peratus.
Tambahnya, jumlah kemalangan maut pula didapati mencatatkan penurunan sebanyak lima kes atau 62.5 peratus. – UTUSAN ONLINE











