LONDON 15 Feb. – Jeritan itu kedengaran dari tempat duduk penyokong Arsenal di Barisov Arena yang tidak percaya pasukan mereka kalah 0-1 kepada Bate dalam perlawanan pertama, peringkat 32 akhir Liga Europa hari ini.
Jaringan Stanislaw Drahun pada minit ke-45 cukup untuk memberi kemenangan mengejut buat Bate, keputusan yang sukar diterima penyokong Gunners, apatah lagi kelab Belarus itu membariskan pemain separuh masa yang dibayar gaji keseluruhan AS$360,000 (RM1.47 juta) sebulan.
Pengendali Arsenal, Unai Emery masih cuba bertenang dengan menegaskan, pasukannya akan layak ke pusingan seterusnya dan mampu bangkit dalam aksi timbal balik di London, Jumaat depan.
Biarpun pasukannya beraksi di bawah tahap sebenar, Emery enggan mengkritik permainan pemain Arsenal, sebaliknya mengulangi keyakinan mereka akan bangkit dalam 90 minit permainan kedua.
“Kami masih ada 90 minit minggu depan dan saya yakin pasukan bakal menampilkan aksi berbeza,” katanya.
Sementara itu, La- cazette pula meminta maaf kepada penyokong Arsenal kerana mengecewakan mereka, terutama selepas dibuang padang.
“Membuatkan pasukan dalam keadaan begini adalah perasaan yang amat teruk.
“Saya patut lebih bertenang tetapi ia tidak selalunya mudah. Maafkan saya,” tulisnya dalam Twitter. – AGENSI











