PUTRAJAYA 15 Feb. – Mana-mana menteri mengambil kesempatan menganjurkan program di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih bagi mengumpan undi boleh dikemukakan sebagai isu hujah dalam petisyen mahkamah pilihan raya.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Azhar Azizan Harun menjelaskan, orang ramai perlu faham bahawa aktiviti kerajaan kini berjalan seperti biasa memandangkan Parlimen atau DUN kini masih belum dibubarkan.
“Secara amnya, sebarang aktiviti kerajaan tidak melanggar peraturan pilihan raya. Jika mereka gunakan aktiviti kerajaan untuk mengumpan undi, itu menjadi isu.
“Oleh demikian pihak kerajaan mesti jelaskan bahawa aktiviti mereka itu bukan umpan undi jika isu ini dibawa ke muka pengadilan,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis lapor diri tiga ahli SPR yang baharu, di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai gelagat segelintir menteri sejak kebelakangan ini yang giat menjalankan aktiviti kementerian masing-masing menjelangnya Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Semenyih.











