HULU LANGAT 15 Feb. – Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih, Zakaria Hanafi bukanlah calang-calang individu.
Kata beliau, Zakaria merupakan calon tepat bagi mewakili BN kerana bekas penolong pegawai tadbir di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu begitu disenangi masyarakat tempatan di Semenyih.
“Calon kita ini anak tempatan dan banyak pengalaman, orang yang cukup matang dan disenangi oleh masyarakat tempatan, jadi tiada masalah dari segi pengenalan kepada masyarakat tempatan dan saya yakin dia boleh jadi wakil rakyat yang disenangi semua pengundi di sini.
“Saya difahamkan dia juga juara pidato UKM, jadi bukan calang-calang orang, boleh bersyarah dengan cukup meyakinkan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas makan tengah hari di sebuah gerai makan di pekan Semenyih, di sini hari ini.
Ahli Parlimen Pekan itu juga sebelum itu turut menunaikan solat Jumaat di Masjid Raja Muda Musa, Semenyih.











