PUTRAJAYA 17 Jan.- Jawatan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan lima Ahli SPR masih kosong kerana pelantikan belum lagi dibuat sehingga kini.
Menurut sumber, hanya seorang iaitu Pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun yang menganggotai senarai Ahli SPR.
Mengenai Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih berlangsung esok, sumber tersebut memaklumkan mesyuarat itu akan dipengerusikan oleh Azhar dan disertai para pegawai SPR lain.
Ketika ditanya mengenai kehadiran ahli-ahli SPR lain dalam mesyuarat sedangkan kekosongan masih belum diisi, sumber berkenaan enggan mengulas berhubung perkara itu.
“Anda boleh tanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu esok,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, Timbalan Pengerusi SPR, Tan Sri Othman Mahmood bersama empat Ahli SPR memutuskan memendekkan tempoh perkhidmatan masing-masing berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Mereka adalah Datuk Md. Yusop Mansur, Datuk Abdul Aziz Khalidin, Datuk Sulaiman Narawi dan Datuk Leo Chong Cheong.
Manakala seorang lagi Ahli SPR, Datuk Bala Singam Karupiah juga dipercayai telah tamat perkhidmatannya.
Menurut Perkara 114 Perlembagaan Persekutuan, SPR hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah terdiri daripada seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang anggota lain.
Azhar dilantik sebagai Pengerusi SPR bagi menggantikan Tan Sri Mohd. Hashim Abdullah yang memendekkan tempoh perkhidmatan sebagai Pengerusi SPR berkuat kuasa 1 Julai 2018. -UTUSAN ONLINE










