Modal RM80 ‘tebuk’ lorong tikus - Utusan Malaysia

Modal RM80 ‘tebuk’ lorong tikus

ANGGOTA tentera melakukan rondaan secara berpasukan dan memeriksa pagar sempadan bagi memastikan tiada lorong tikus yang boleh dibolosi penceroboh dalam Op Pagar II di sempadan Malaysia- Thailand, Bukit Kayu Hitam, Kedah. – UTUSAN/ SHAHIR NOORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hanya bermodalkan RM80, penyeludup mampu membina puluhan lorong tikus dengan memotong pagar duri menggunakan pemotong dawai.

Lebih mengejutkan, sindiket didalangi warga Thailand itu turut menjadi anggota sukarelawan keselamatan serta menya­mar sebagai pekebun di kawasan sempadan negara.

Itu antara modus operandi yang dilakukan sindiket penyeludupan dadah dan ketum bagi mengesan pergerakan pasukan keselamatan negara.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pegawai Memerintah Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA) Senoi Praaq, Superintenden Rosman Kasman berkata, di kawasan pagar berduri, mereka akan membina laluan tikus dekat dengan jalan raya utama di negara jiran selain menggunakan kenderaan pan­cuan empat roda atau motosikal.

“Jika laluan ‘clear’, mereka akan masuk bersama barang seludup menghampiri sempadan. Ada juga barang akan ditinggalkan di satu tempat transit sebelum diambil rakan seludup lain.

“Penyeludup tempatan dan Thailand dikesan berkomunikasi menggunakan alat perhubungan walkie-talkie atau telefon bimbit,” katanya di sini semalam.

Dalam pada itu menurut Rosman, untuk di kawasan bertembok, penyeludup Thailand akan masuk ke negara ini dengan memanjat tembok keselamatan secara bergilir-gilir di beberapa kawasan sebelum berkumpul di satu tempat.

Jelas beliau, mereka kemudian akan mengambil barang yang dibawa atau ditinggalkan oleh penyeludup tempatan.

Katanya, selain itu sindiket yang menyeludup melalui laluan air pula akan masuk ke per­airan negara mengikut pesisir pantai dengan bot ekor lipan kerana mudah dikawal di kawasan cetek dan berselut.

“Penyeludup tempatan pula akan bergerak menggunakan bot ke sempadan negara untuk menghantar barang seludup.

“Mereka akan bertukar bekalan sebelum penyeludup tempatan bawa masuk melalui jeti-jeti haram dan berge­rak menggunakan jalan darat untuk diedar kepada sindiket lain,” katanya.

Menurut Rosman, walaupun sempadan negara dipisahkan dengan pagar berduri, namun keadaan dawai yang sudah berkarat dan reput memudahkan penyeludup memotong bagi membina lorong tikus.

Tambahnya, jika pagar itu tidak diganti dengan tembok batu, kegiatan penyeludupan sukar dibanteras sepenuhnya.

“Pihak berkuasa kita bersungguh-sungguh untuk menyekat aktiviti penyeludupan namun negara jiran seolah-olah mengambil sikap sambil lewa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×