KUALA LUMPUR – Polis menahan seorang lelaki warganegara tempatan di Permas Jaya, Johor Bahru, Johor pada 18 Mei lalu kerana menghantar mesej palsu yang mendakwa kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang sejak 16 April lalu, Muhammad Zahiruddin Putra Mohd. Fauzi atau Zahir ada bersama dengannya.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd, Yusoff berkata, bapa Zahir iaitu pengadu menerima mesej itu melalui aplikasi WhatsApp daripada seorang individu yang tidak dikenali pada 13 Mei lalu.
“Individu tersebut meminta wang daripada pengadu sebagai syarat untuk mengambil mangsa yang berada dengannya.
“Ekoran daripada mesej tersebut, sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor melakukan tangkapan terhadap suspek di Permas Jaya, Johor Bahru, Johor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ahmad Dzaffir menambah, suspek mengaku bahawa dia menghantar mesej itu kerana terdesak dan tidak mempunyai duit.
“Dia berniat mahu mengambil kesempatan terhadap isu kehilangan Zahir.
“Suspek kini telah diikat dengan bon mahkamah sehingga siasatan kes selesai,” ujarnya.
Kosmo! pada 17 April lalu melaporkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 8 tahun dilaporkan hilang selepas keluar bermain di kawasan kediamannya di Bandar Seri Putra di sini semalam.
Ibu kanak-kanak berkenaan, Sainih Sunding, 46, berkata, anak bongsunya, Zahir tidak pergi ke sekolah dan keluar dari rumah kira-kira pukul 8 pagi untuk bermain bersama rakan-rakannya.
Dia hanya menyedari kehilangan Zahir apabila tidak melihat kelibat anaknya di rumah sebaik pulang dari tempat kerjanya. Operasi mencari sudah dijalankan di sekitar kawasan.
Kes tersebut diklasifikasikan sebagai siasatan ’Orang Hilang’ buat masa kini dan tiada sebarang unsur jenayah dikaitkan dengan kehilangannya. – K! ONLINE











