KUALA LUMPUR 30 Mei – Rakyat Malaysia berpeluang menyaksikan Tunku Mahkota Johor (TMJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman beradu tenaga dalam perlawanan bola sepak tidak lama lagi.

Syed Saddiq mengesahkan pihaknya akan mengutus surat kepada Tunku Ismail untuk mengatur perlawanan itu nanti.
Kata beliau, perlawanan persahabatan itu diharap dapat menjadi jambatan untuk mengeratkan silaturahim antara pihak yang terlibat.
“Saya akan utuskan surat kepada TMJ. Ini merupakan perlawanan persahabatan mengeratkan silaturahim dan memastikan bahawa sukan dijadikan jambatan untuk menyatupadukan semua.
“Saya agak yakin itu merupakan fungsi utama sukan. Untuk kita kekal sihat dan pada masa sama untuk kita sentiasa mengeratkan silaturahim,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sumbangan Jakel Raya kepada Asnaf di Pusat Beli-belah Jakel di sini hari ini.
Tunku Ismail sebelum ini menyatakan kesediaan baginda untuk mengatur perlawanan persahabatan bersama pasukan Syed Saddiq setelah dicadangkan beberapa pengguna media sosial. – UTUSAN ONLINE











