KUALA LUMPUR – Kenyataan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Dr. Zulakbal Abd. Karim mengenai prestasi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang masih kurang berkesan dalam mentadbir urus Liga Malaysia (Liga M) pada Jumaat lalu adalah untuk menambah baik perjalanan dan pengurusan pengendali liga tempatan tersebut.
Katanya, kenyataan tersebut bukan untuk mengaibkan, mengutuk mahupun memfitnah MFL atau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sebaliknya lebih kepada ingin melihat liga ke arah yang lebih positif.
“Sebagai seorang penggiat dalam sukan ini dan penyandang jawatan kanan PJBM, tujuan saya mengeluarkan kenyataan itu hanyalah untuk melihat penambahbaikan Liga M dan ke arah yang positif.
“Kenyataan itu dikeluarkan atas rasa sayang kepada sukan bola sepak negara dan tiada niat langsung untuk mengaibkan, mengutuk atau memfitnah mana-mana pihak, MFL atau FAM,” katanya.
Zulakbal dalam kenyataan itu turut merujuk kepada kelewatan pengagihan geran kewangan tahunan kepada pasukan-pasukan liga dan penjadualan perlawanan yang masih di takuk lama walaupun MFL sudah mengambil alih daripada FAM selama empat tahun.
FAM dikatakan sudah mengeluarkan surat tunjuk sebab kepadanya berhubung kenyataan itu yang perlu dijawab dalam tempoh dua minggu sebelum kesnya dirujuk kepada Jawatankuasa Tatatertib FAM memandangkan statusnya sebagai Naib Presiden PJBM, ahli gabungan badan induk kebangsaan itu. – K! ONLINE











