PUTRAJAYA – Tempoh reman seorang Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) sebuah syarikat swasta yang disiasat berhubung kes menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kenderaan milik agensi pertahanan negara berjumlah lebih RM17 juta disambung empat hari bermula esok.
Sementara itu, seorang Ketua Pegawai Kewangan (CFO) syarikat swasta yang juga direman sebelum ini berhubung kes sama dibebaskan dengan jaminan RM50,000 tanpa deposit dengan seorang penjamin.
Perintah itu dikeluarkan oleh Majistret Shah Wira Abdul Halim setelah membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya di sini hari ini.
Menurut sumber, SPRM telah merampas beberapa beg tangan mewah dan mata wang asing di kediaman CEO berkenaan semalam.
Kedua-dua suspek sebelum ini direman selama empat hari sehingga hari ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM.
Kosmo! Online baru-baru ini melaporkan CEO dan CFO sebuah syarikat swasta ditahan SPRM kerana menerima suapan bagi projek pembekalan peralatan kereta kebal milik agensi pertahanan negara.
Sumber SPRM berkata, kedua-dua suspek dipercayai telah menerima wang rasuah berjumlah ratusan ribu ringgit dari beberapa syarikat berkaitan penganugerahan projek pembekalan peralatan kenderaan perisai jenis AV8 dan Adnan pada tahun 2014 hingga 2017.
Sebelum ini, CEO lelaki berusia 45 tahun dan CFO wanita berusia 53 tahun itu dilaporkan ditahan ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.
Dalam perkembangan berbeza, dua kontraktor yang dipercayai terlibat dalam kes menerima dan memberi rasuah RM200,000 kepada pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur dibebaskan dengan jaminan RM5,000 tanpa deposit bersama seorang penjamin selain pasport diarahkan diserahkan kepada SPRM. – K! ONLINE











