KOTA KINABALU 29 April – Sabah perlu meningkatkan pendapatan sektor pembuatan kepada RM60 bilion menjelang 2030 dalam usaha merealisasikan sasaran peningkatan sumbangannya sebanyak 35 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Wilfred Madius Tangau.
Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah berkata, sektor pembuatan negeri ketika ini hanya menyumbang 7.3 peratus kepada KDNK, justeru itu, ia perlu terus dipergiat memastikan pertumbuhan industri dan ekonomi negeri lebih mampan.
Beliau berkata, kerajaan negeri telah merancang dan menyusun pelbagai inisiatif bagi memastikan sektor berkenaan memberi impak positif berganda termasuk mempelbagai nilai tambah dalam setiap aktiviti ekonomi selain terus komited menarik lebih banyak pelabur berpotensi.
“Kita mahu bergerak lebih maju dan bersama-sama negara maju lain. Kita juga mahu pendapatan per kapita dalam KDNK meningkat. Kita mesti meningkatkan sumbangan sektor pembuatan dan industri daripada 7.3 peratus ketika ini kepada 35 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Untuk mencapainya, sumbangan sektor pembuatan perlu ditingkatkan kepada RM6 bilion setiap tahun bagi memastikan ia boleh menyumbang RM60 bilion menjelang 2030,” katanya semasa berucap pada majlis apresiasi Komuniti Ekonomi 2019 Jabatan Perangkaan di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin dan Pengarah Jabatan Perangkaan Sabah, Norhayati Jantan.
Madius berkata, Sabah mencatatkan pertumbuhan ekonomi memberangsangkan semasa 2017 iaitu 8.2 peratus berbanding 4.7 peratus pada tahun sebelumnya, dengan merekodkan nilai sebanyak RM92.7 bilion berdasarkan KDNK negeri.
Beliau berkata, sektor perkhidmatan merupakan penyumbang terbesar kepada KDNK Sabah semasa 2017 iaitu 39.9 peratus, diikuti sektor perlombongan dan kuari (31.3 peratus), sektor pertanian (18.7 peratus) dan penyumbang paling rendah adalah sektor pembuatan serta perindustrian dengan hanya 7.3 peratus.
Menurutnya, Sabah menghadapi pelbagai cabaran dalam memastikan sektor perindustrian di negeri itu dapat dikembangkan secara lebih pesat termasuk kos operasi logistik pelabuhan yang tinggi dan aktiviti perkapalan di pelabuhan masih rendah.
Bagaimanapun kerajaan negeri terus komited melaksanakan pelbagai pendekatan proaktif dalam menangani cabaran itu termasuk mengharamkan eksport kayu balak dan memperkasa pembangunan industri hiliran ke arah menjadikan Sabah negeri perindustrian sekali gus menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan, katanya.
Pada majlis itu, Madius turut menyampaikan sijil penyertaan kepada 32 wakil syarikat yang terlibat dalam kajian yang dijalankan Jabatan Perangkaan. – BERNAMA











