KUALA LUMPUR 29 April – Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin memaklumkan bahawa semua pihak berkuasa tempatan (PBT) sudah diarahkan membuat pemeriksaan terhadap flat yang berusia lebih 30 tahun di seluruh negara.
Beliau berkata, pemeriksaan itu penting bagi memastikan tiada sebarang insiden keretakan berlaku sekali gus menjamin keselamatan penduduk.
Tegasnya, dalam polisi perumahan negara juga telah dinyatakan mengenai cadangan pembangunan semula flat yang berusia lebih 30 tahun di seluruh negara.
“Jadi, kita akan memberikan tumpuan kepada rumah kos rendah yang terletak di lereng bukit, tanah tinggi dan kawasan lembap khususnya yang dibina lebih 30 tahun.
“Kalau di Lembah Klang, saya belum ada data yang tepat mengenai jumlah flat tersebut tetapi rata-rata di kawasan Ampang sudah dibina antara 28 hingga 30 tahun,” katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar khas selepas melakukan tinjauan di pangsapuri tersebut di sini hari ini.
Yang turut hadir ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Pengerusi Perumahan Pembangunan, Pengurusan dan Kehidupan Bandar Selangor, Haniza Talha.
Lebih 200 penghuni melibatkan sebanyak 37 keluarga di pangsapuri itu dipindahkan ke pusat pemindahan di Dewan AU2, Keramat selepas kediaman mereka retak teruk pada Jumaat lalu. – UTUSAN ONLINE











