BUKIT MERTAJAM 29 April – Seorang warga emas yamg menunggang motosikal maut digilis sebuah lori selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Perindustrian Bukit Minyak, di sini pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira pukul 9.05 pagi itu, mangsa, S. Arjunan, 63, maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada seluruh anggota badan manakala pemboncengnya, seorang warga Nepal hanya cedera ringan.
Menurut Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid, kemalangan itu dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda EX5 yang ditunggangi mangsa bergesel dengan sebuah lori dari arah sama.
Tambah beliau, siasatan awal mendapati kedua-dua kenderaan dari arah Jalan Permatang Tinggi itu cuba membelok masuk ke simpang Lorong IKS Bukit Minyak.
“Bagaimanapun, kedua-dua kenderaan itu bergesel ketika cuba membelok menyebabkan motosikal ditunggang mangsa hilang kawalan dan terjatuh sebelum mangsa digilis tayar sebelah kiri lori berkenaan,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Nik Ros Azhan berkata, akibat kejadian itu mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayatnya dihantar ke Hospital Bukit Mertajam untuk dibedah siasat.
“Pembonceng motosikal warga Nepal berusia 37 tahun pula hanya cedera pada tangan manakala pemandu lori tidak cedera,” katanya.
Beliau menambah, kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN ONLINE











