SARAJEVO 21 April – Delegasi Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PPIPBM) berjaya mencatat potensi jualan sebanyak RM55 juta sepanjang Karnival Keusahawan Halal Malaysia (MEHC) 2019 di sini, yang bermula Khamis lalu.

Timbalan Presidennya, Datuk Azman Yusoff berkata, penganjuran karnival selama tiga hari itu telah berjaya menarik minat masyarakat tempatan untuk mencuba produk-produk Malaysia dan respon yang diterima rata-ratanya positif.
“Sepanjang berada di Bosnia dan Herzegovina ini, kita berjaya mendapat padanan perniagaan yang baik antara (syarikat) Malaysia dengan Bosnia. Ia satu permulaan yang baik untuk kita memasarkan produk-produk kita di sana.
“Saya dimaklumkan juga sepanjang tiga hari penganjurannya, jualan yang dicatat adalah sebanyak RM1.1 juta manakala potensi perniagaan yang akan dijalankan bernilai RM55 juta,” katanya dalam sidang akhbar selepas sesi penutup MEHC 2019 di sini hari ini.
Beliau yang juga merupakan Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) turut memberitahu telah menemui beberapa peluang perniagaan dalam industri pembinaan melibatkan pembinaan infrastruktur seperti hospital, lapangan terbang dan stadium.
Turut hadir ialah Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof.
Dalam nada yang sama, Mohd. Redzuan pula berharap kejayaan penganjuran MEHC 2019 dapat menjadi pemangkin kepada usahawan-usahawan lain di Malaysia untuk menjadi berani meneroka pasaran luar seperti Bosnia.
Kata beliau, para usahawan perlu berani menyambut galakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad supaya lebih banyak perniagaan milik Malaysia dibuka di Bosnia dan Herzegovina.
“Kalau kita tengok usahawan yang datang ini,mereka berani, lebih kreatif dan lebih memahami keadaan,” katanya.
MEHC melibatkan 47 orang usahawan daripada 34 buah syarikat Malaysia yang mengadakan pameran serta pelbagai program bersifat padanan perniagaan sepanjang tiga hari bermula Khamis lalu.
Ia merupakan karnival yang julung-julung kali diadakan bersempena penganjuran Forum Perniagaan Sarajevo (SBF) 2019. – UTUSAN ONLINE











