LONDON 21 April – Manchester United tidak akan dibentuk bagi memberi manfaat kepada Paul Pogba semata-mata.
Sejak kembali ke Old Trafford dengan perpindahan bernilai 89.3 juta pound (RM479.5 juta) daripada Juventus pada 2016, United sering dikaitkan dengan pendekatan untuk memberikan manfaat kepada Pogba.
Masalah hubungannya dengan Jose Mourinho, awal musim ini, disusulinya dengan prestasi cemerlang sejak Ole Gunnar Solskjaer mengambil alih jawatan sebagai pengurus.
Bagaimanapun, seperti rakan sepasukannya yang lain, Pogba juga beberapa kali menampilkan rentak sumbang yang menyaksikan United tewas lima perlawanan dan hanya menang dua daripada tujuh perlawanan terakhir.
Laporan terkini mengaitkan pemain berusia 26 tahun itu ke Real Madrid mengganggu fokusnya, namun Solskjaer menegaskan bahawa dia akan terus meminta pemain itu supaya melaksanakan tugas seperti biasa.
“Semua orang mempunyai pendapat tersendiri mengenai Paul. Kami ada duduk berbincang bersama-sama mengenai posisinya.
“Kami tahu dia boleh bermain sebagai peranan jersi nombor 10 atau 6, kami tahu dia lebih senang beraksi di antara tiga pemain tengah.
“Untuk pasukan Perancis, dia dikerah sebagai salah seorang pemain tengah di depan pertahanan atau digandingkan dengan N’Golo Kante.
“Itulah perkara yang hebat tentang Paul. Dia mampu melakukan kedua-duanya dan apa yang perlu kami lakukan adalah menyesuaikan pemain dengan sesuatu perlawanan, apa yang dituntut dalam perlawanan itu,” kata Solksjaer.
United mahukan tiga mata di Goodison Park dalam aksi liga malam ini untuk mencerahkan laluan mereka menduduki kelompok empat pasukan teratas.
Sentuhan Pogba akan ditagih sepenuhnya menjelang pertemuan ‘derby’ di antara United dan City di Old Trafford, Khamis depan, disusuli aksi berdepan Chelsea tiga harian kemudian.-AGENSI











