Rawatan IVF gagal, di mana silapnya? - Utusan Malaysia

Rawatan IVF gagal, di mana silapnya?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Sudah lima tahun aku menunggu hendak dapatkan zuriat, tetapi masih belum ada tanda langsung hendak mengandung. Bagaimana buat rawatan IVF di Malaysia? Sesuaikah dengan aku? Bagaimana caranya? Berapa kosnya? Kalau IVF gagal macam mana?.’’

Penantian cahaya mata bukanlah sesuatu yang mudah, terutamanya bagi pasangan yang telah lama mencuba. Setelah bertahun-tahun menunggu, tentu ramai yang akan mencari alternatif bagi meningkatkan harapan untuk hamil.

Penyanyi popular, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin antara mereka yang pernah menjalani rawatan kesuburan in vitro fertilization (IVF) dalam usaha mendapatkan cahaya mata. Percubaan ketiga dilakukannya sepanjang tempoh 11 tahun berkahwin dengan Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa akhirnya memberikannya seorang anak perempuan.

Memuatkan artikel berkaitan…

Menurut Perunding Pakar Perundangan dan Obstetrik dan Ginekologi (O&G) di Pusat Kesuburan, KPJ Damansara, Dr. Mohan Raj Varutharajoo, persenyawaan in vitro (IVF) atau bayi tabung uji merupakan satu teknologi bantuan reproduktif bagi membantu pasangan yang mengalami masalah kesuburan. Proses ini melibatkan persenyawaan ovum atau oosit oleh sperma di luar badan manusia selepas teknik bantuan reproduktif yang lain telah menemui kegagalan.

Ujarnya, jika pasangan memilih rawatan IVF dan gagal sebanyak tiga kali, ujian seterusnya akan dilakukan untuk memastikan punca kegagalan rawatan itu. Ini kerana kegagalan rawatan IVF akan memberikan kesan yang sangat mendalam kepada pasangan khususnya wanita yang terpaksa melalui pengalaman pahit ini. Tekanan emosi yang kuat boleh menyebabkan kesan sampingan fizikal seperti murung selain berlaku pergolakan rumah tangga. Termasuk perasaan sedih, keliru dan marah.

Mengapakah rawatan IVF ini tidak berjaya? Menurut Dr. Mohan, pertanyaan ini mungkin akan bermain-main dalam fikiran. Sememangnya kegagalan rawatan IVF memberikan impak cukup hebat kepada pasangan. Mungkin disebabkan pasangan terlibat terpaksa melalui rawatan invasif dan intensif yang mana mengambil masa, tenaga dan kos agak mahal.

“Kejayaan IVF adalah dalam kitaran 30 hingga 40 peratus dan kadangkala mungkin mencecah kepada 50 hingga 60 peratus. Satu dalam tiga pasangan yang melakukan IVF akan mengalami kegagalan. Oleh itu, setiap pasangan perlu bersedia beberapa kemungkinan yang mereka terpaksa hadapi. Kadangkala, rawatan IVF hanya berjaya setelah pasangan melakukannya dua hingga tiga kali,” katanya.

Ujar Dr. Mohan, terdapat pelbagai faktor lain yang terlibat dalam kejayaan dan kegagalan IVF seperti kualiti sperma, ovum, kadar fragmentasi DNA, merokok, indeks jisim tubuh (BMI) tidak normal.

Terdapat juga masalah lain yang mempengaruhi kegagalan rawatan IVF termasuk tiub falopio yang bengkak seperti hydrosalphinx yang mana dinding rahim semasa meletakkan embrio nipis, kesulitan semasa proses oocyte retrieval atau pengambilan telur, kesulitan semasa hendak meletakkan embrio dan masalah dari segi ‘implantasi’ embrio yang dikenali sebagai implantation failure.

Oleh itu, Dr. Mohan mencadangkan perbincangan susulan selepas kegagalan rawatan IVF dalam usaha mencari langkah-langkah penambahbaikan. “Terdapat pelbagai usaha yang akan dilakukan untuk membantu pasangan hamil selepas melakukan IVF seperti mengambil suplemen yang sesuai bagi menambah baik kualiti telur dan sperma, menukar protokol stimulasi iaitu mengubah ubat stimulasi dan menaikkan dos ubat.

“Doktor juga boleh membuat pembedahan untuk membuang dan mengklip tiub falopio yang bengkak (hydrosalpinx) atau menurunkan telur yang tinggi dengan memberi atau menukar ubat rawatan untuk dinding rahim yang nipis,” jelasnya.

Indikasi

1.Teknik IVF disyorkan kepada wanita yang sudah berkahwin selama dua tahun dan masih belum dikurniakan zuriat mungkin disebabkan kegagalan tiub falopio atau ketidaksuburan yang tidak dikenal pasti.

2.Kejayaan IVF memerlukan ovum yang sihat dan baik, sperma yang mampu mensenyawakan ovum dan rahim yang mampu meneruskan kandungan. Selepas teknik bantuan rawatan yang lebih murah(IUI) masih gagal, prosedur IVF akan disyorkan kepada pasangan tersebut.

3.Kaedah menyuntik sperma ke dalam oosit (ICSI) akan digunakan bagi mengatasi ketidaksuburan dalam kalangan lelaki yang berhadapan dengan masalah kekurangan dari segi kuantiti dan kualiti sperma dan sperma yang tidak mampu memasuki ovum. Kaedah ICSI mampu meningkatkan kadar kejayaan in vitro.

Komplikasi prosedur IVF

1. Kelahiran lebih daripada satu.

Ini disebabkan oleh bilangan embrio yang dipindahkan lebih daripada satu. Keadaan ini turut berkait dengan risiko yang lain seperti keguguran, komplikasi obstetrik, bayi pramatang dan morbiditi neonatal.

2. Kecacatan sewaktu kelahiran

Tiada hubungan yang pasti antara kecacatan sewaktu kelahiran dengan rawatan infertiliti seperti prosedur IVF. Namun begitu, terdapat faktor-faktor yang menyumbang kepada keadaan ini seperti umur ibu, keturunan, keadaan genetik dan keadaan persekitaran yang menyebabkan kegagalan ini boleh berlaku.

Kadar kejayaan

Faktor utama yang menyumbang kepada kejayaan kandungan dan kadar kelahiran dalam kalangan pesakit IVF bergantung kepada umur ibu. Umur yang optimum untuk menjalani rawatan ini adalah pada umur 23 hingga 42 tahun.

1. Kehamilan

Peratusan pesakit yang berjaya hamil melalui prosedur IVF tinggi bagi yang berumur 35 tahun ke bawah dengan 35 hingga 45 peratus kejayaan. Peratusan kejayaan ini akan berkurangan seiring dengan peningkatan usia wanita tersebut.

2. Kadar Kelahiran

Kadar kelahiran bagi pasangan yang masih muda dengan usia 21 tahun adalah dari 30 hingga 35 peratus. Bagi mereka yang lebih berusia seperti 37 tahun, kadar kelahiran dicatatkan ialah 20 hingga 27.4 peratus manakala bagi mereka yang berusia 48 tahun, hampir tiada kelahiran bayi dicatatkan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini