Sakitkah cuci gigi? - Utusan Malaysia

Sakitkah cuci gigi?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Cuci gigi ialah rawatan paling asas dalam bidang pergigian tetapi ramai yang melupakan atau sengaja ambil sambil lewa terhadap perkara ini. Doktor gigi akan sentiasa menyarankan supaya anda mendapatkan rawatan cuci gigi setiap enam bulan sekali walaupun jika anda tidak mengalami sakit gigi atau simptom lain.

Saya tahu ramai yang mungkin takut dengan rawatan cuci gigi kerana dimomokkan yang rawatan ini menyebabkan rasa sakit dan ngilu teramat. Ditambah dengan bunyi nyaring yang pasti menjadi mimpi ngeri mengalahkan seramnya filem Suzzanna Bernafas Dalam Kubur.

Tahukah anda rawatan cuci gigi sebenarnya tidaklah seteruk yang dibayangkan? Tidaklah seperti yang dipaparkan dalam cerita thriller seram yang sekadar untuk melariskan wayang gambar. Cuci gigi atau dalam kalangan doktor gigi memanggilnya scaling ialah proses membuang karang gigi daripada permukaan gigi, di atas paras gusi (supragingiva) dan juga di bawah gusi (subgingiva).

Memuatkan artikel berkaitan…

Karang gigi yang keras ini sebenarnya ialah tahi gigi yang menebal pada permukaan gigi yang kemudiannya mengeras kerana terkalsifikasi oleh kalsium dalam air liur. Sebab itulah komposisinya keras berkapur dan boleh dipecahkan dengan cara yang betul.

Terdapat dua cara yang dipraktikkan oleh doktor gigi untuk memecahkan karang gigi. Cara pertama, cara yang lebih klasik, tetapi masih digunakan terutama untuk karang gigi jauh di bawah gusi yang mana root planing perlu dilakukan. Doktor gigi akan menggunakan alat yang dipanggil hand scaler berbentuk seperti sabit kecil untuk mencungkil karang gigi. Cara ini kurang menyakitkan kerana pesakit tidak berasa ngilu dan tiada bunyi bising tetapi agak kurang efektif dan mengambil masa yang lama.

Cara kedua iaitu cara diamalkan oleh kebanyakkan doktor gigi moden ialah menggunakan ultrasonic scaler iaitu alat pergigian dengan mata cangkul yang bergetar dengan laju. Alat ini digunakan untuk memecahkan karang gigi. Alat ultrasonik inilah yang mengeluarkan bunyi nyaring yang tidak digemari oleh pesakit. Tetapi dengan aliran pergigian moden, bunyi daripada alat ultrasonik ini sudah dapat dikurangkan hingga hampir tidak kedengaran. Alat ultrasonik ini yang bergetar dengan laju apabila dikenakan pada gigi akan menimbulkan sedikit sensasi tidak selesa dan sedikit ngilu tetapi apabila pesakit sudah biasa mendapat rawatan cuci gigi getaran ini tidak akan terasa.

Alat utrasonik scaler ini juga mengeluarkan air pada hujung matanya untuk membilas gigi daripada karang gigi yang dipecahkan sekali gus menjawab kepada persoalan mengapa gigi berasa ngilu apabila dicuci. Kawasan gigi yang tertutup dengan karang gigi semestinya akan terkejut apabila terkena air sedikit sejuk sekali gus merangsang saraf mentafsirkannya sebagai rasa ngilu. Sebelum ini kawasan tersebut terlindung daripada sensasi sejuk atau panas di bawah karang gigi yang tebal.

Nasihat saya, dapatkan rawatan cuci gigi setiap enam bulan sekali sebelum gusi menunjukkan tanda-tanda gingivitis iaitu bengkak, berbau dan mudah berdarah. Apabila tanda-tanda ini timbul, rawatan cuci gigi akan menjadi sedikit rumit tetapi tetap perlu dilakukan.

Untuk perokok, saya nasihatkan mereka mendapatkan rawatan cuci gigi tiga ke empat bulan sekali kerana gingivitis awal tidak akan kelihatan kerana kesan nikotin yang menjadikan saluran darah sempit dan gusi lambat membengkak.

Kepada mereka yang mempunyai penyakit kencing manis, saya nasihatkan agar mereka mendapatkan rawatan cuci gigi lebih kerap kerana dalam keadaan karang gigi yang sedikit akibat daripada imuniti badan yang lemah, gusi senang membengkak dan gigi boleh menjadi goyang. Pesakit harus pastikan gigi dalam keadaan sangat bersih dan sihat untuk mengelakkan gigi goyang dan perlu dicabut.

Kepada ibu mengandung, mereka juga selamat untuk mendapatkan rawatan cuci gigi bagi mengelakkan gingivitis. Menurut Dr. Nestor J.Lopez, Profesor University of Chile terdapat kajian menyatakan bahawa penyakit gingivitis kepada ibu mengandung memberi risiko kepada kelahiran pramatang iaitu bayi lahir dengan berat yang rendah. Justeru rawatan pergigian boleh mengurangkan peratusan kejadian itu kepada 68 peratus.

Pendapat peribadi saya, jangan takut kepada perkara yang tidak pernah cuba lalui dan hanya mendengar omongan orang. Cuci gigi ialah rawatan asas pergigian yang selamat dan perlu dilakukan setiap enam bulan sekali.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini