Kembara sosio budaya Danau Toba - Utusan Malaysia

Kembara sosio budaya Danau Toba

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Keunikan dan ketenangan kucahan air Danau Toba, Medan, Indonesia membuatkan sesiapa sahaja terpukau setiap kali mengunjunginya. Meskipun mengambil masa panjang untuk sampai ke tanah Batak itu, namun ia tetap menghadiahkan satu kepuasan yang sukar digambarkan. Dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) penerbangan mengambil masa satu jam untuk sampai ke Bandara Kuala Namu, Deli, Medan, Sumatera Utara.

Kemudian mengambil masa lima jam untuk tiba di sebuah pekan kecil di pinggir Danau Toba iaitu bandar Parapat. Pastinya perjalanan agak memenatkan namun panorama yang terhidang di sepanjang laluan begitu mengasyik dan menghiburkan. Kesibukan kota kosmopolitan, Medan yang memaparkan bangunan-bangunan besar serta kesibukan kenderaan bertali arus pada mulanya, berubah sedikit demi sedikit bertukar menjadi suasana kedesaan setelah menyelusuri pekan-pekan kecil di sepanjang laluannya.

Di Danau Toba, terdapat lima suku utama kaum Batak yang mendiami pulau Sumatera Utara ini iaitu Batak Toba, Batak Karo, Batak Mandaling, Batak Simalungun dan Batak Pakpak. Di Pulau Samosir, Danau Toba majoritinya dihuni oleh kaum Batak Toba. Tomok dan Ambarita merupakan dua buah perkampungan Batak yang masih bertahan sehingga kini dengan adat tradisinya selain menjadi daya tarikan pelancong yang datang ke situ.

Memuatkan artikel berkaitan…

Apa yang menarik, selain dapat melihat keunikan dan keindahan panorama Danau Toba, kami juga dibawa menaiki feri khas melalui air tasik menuju ke Pulau Samosir sebelum tiba ke pekan Tomok dan Ambarita. Dengan usapan angin danau yang lembut dan sejuk, para penumpang dihiburkan dengan nyanyian lagu-lagu Batak oleh anak-anak tempatan yang berada dalam feri tersebut. Perjalanan hampir satu jam itu dirasakan terlalu pantas. Tanpa sedar kami tiba di pekan Tomok dan kemudian Ambarita.

Sememangnya cahaya dan warna landskap sekitar Danau Toba yang seakan sebuah lukisan itu membuatkan diri pengunjung tidak pernah puas untuk menikmatinya meskipun sudah beberapa kali bertandang ke situ. Susunan gunung-ganang serta kilauan air tasik yang kebiruan itu memukau setiap pandangan.

Jajaran Danau Toba sepanjang kira-kira 100 kilometer itu merupakan kawah gunung berapi yang pernah meletus beratus ribu tahun dahulu kini telah menakung air dikatakan hampir 1,000 meter dalamnya. Di penghujung Danau Toba ada terdapat sebuah air terjun iaitu ‘Sipiso-piso’ merupakan salah satu tempat kunjungan wajib para pelancong.

Perjalanan ke ‘Sipiso-piso’ ini memakan masa hampir tiga jam dari pekan Parapat. Setelah merasai keenakan ‘Bandrek’ (sejenis minuman daripada halia) di Simarjarunjung, akhirnya kami tiba di kawasan penghujung Danau Toba. ‘Sipiso-piso’ telahpun bersedia menunggu dengan pancuran air terjunnya.

Setelah selesai berfoto serta melepaskan ketegangan minda sambil bersiar-siar di sekitar kawasan air terjun dengan melihat pemandangan hujung Danau Toba, kami berpeluang menghirup secawan kopi panas serta telur separuh masak di sebuah warung yang tersedia di situ. Kesegaran tubuh diperoleh semula sebelum meneruskan perjalanan menuju ke Berastagi yang jaraknya hampir tiga jam perjalanan.

Pekan Berastagi merupakan sebuah pekan yang berada di sebuah kawasan tanah tinggi dengan udaranya yang sejuk. Ramai pelancong yang berkunjung serta bermalam di kawasan ini kerana udaranya yang segar. Penduduk kawasan ini kebanyakannya dihuni oleh kaum Batak Karo. Pekerjaan mereka adalah bercucuk tanam dan berkebun. Di pekan Berastagi terdapat dua buah gunung berapi yang masih aktif iaitu ‘Sinabung’ dan ‘Sibayak’. Gunung ‘Sinabung’ pernah meletus beberapa tahun lalu menyebabkan ramai penduduk berpindah dari kawasan tersebut.

Destinasi terakhir kami ialah menuju ke bandar Medan dan perjalanan memakan masa hampir tiga jam. Semasa di bandar Medan, kami sempat berkunjung ke Istana Maimoon yang terletak di tengah-tengah kota Medan. Kami juga sempat melawat Masjid Utama Medan serta tidak ketinggalan berkunjung tempat membeli belah iaitu Pasar Ikan dan Medan Mall sebagai ole-ole dari tanah Medan. Pada pagi keesokannya kami berlepas pulang meninggalkan kota Medan dengan membawa pulang seribu kenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini