LONDON 6 April – Ejen penyerang Manchester United Romelu Lukaku enggan mengulas mengenai masa depan pemain itu buat masa ini.
Lukaku yang menyertai Manchester United dari Everton pada 2017, telah menjaringkan 42 gol dalam 90 penampilan untuk kelab itu.
Begitupun, wakilnya, Federico Pastorello berkata, Lukaku akan membincangkan masa depannya pada akhir musim kerana ingin memberi tumpuan sepenuhnya pada saingan musim ini.
“Pada masa ini dia mahu memberi tumpuan sehingga akhir musim ini. Saingan untuk tempat ketiga dan keempat di England sangat sengit, maka biarlah apa yang akan terjadi pada masa akan datang dibincangkan pada akhir musim.
“Ia merupakan musim kedua buat dia di sini dan dia masih akan mempunyai kontrak tiga tahun sehingga berakhir,” kata Pastorello kepada Sky Sports News.
Jelas Pastorello lagi, Lukaku merupakan seorang yang suka mengetahui budaya dan keadaan bola sepak yang berbeza.
“Dia melihat ada laluan mempunyai kerjaya di negara lain kerana dia ingin memenangi beberapa trofi dan membuktikan dirinya dan mengatakan kepada anak-anaknya ‘saya menang di sana dan saya menang di sini serta saya adalah pemain yang sangat baik dalam semua kejuaraan teratas’.
“Jadi mari kita lihat, masa depan amat terbuka tetapi pada masa ini, kita tidak membincangkan tentang itu kerana musim ini merupakan saat yang amat penting,” jelasnya. – AGENSI











