KUALA LUMPUR 6 April – Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mahu keputusan kerajaan menarik diri daripada menyertai Statut Rom melibatkan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) direkodkan di Parlimen.
Beliau yang juga Ketua Pembangkang berkata, perkara itu akan dibangkitkan pada Isnin nanti sewaktu persidangan Dewan Rakyat bersambung semula.
Jelasnya, walaupun keputusan menarik diri telah diumumkan oleh Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad semalam, namun langkah merekodkan tindakan tersebut di Parlimen akan memastikan komitmen menarik diri itu lebih jelas.
“Sebab itu di Parlimen pada Isnin nanti saya akan bangkitkan keputusan Kabinet menarik balik mengenai Statu Rom. Ia perlu diumumkan dalam Parlimen oleh pihak kerajaan sama ada Perdana Menteri atau Menteri Luar agar kita jelas perkara terbabit dan direkodkan.
“Keduanya, ia perjelaskan kepada kita secara terperinci apa prosedur-prosedur peraturan yang hendak diikuti,” katanya yang dipetik daripada portal UMNO-Online yang disiarkan hari ini.
Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, apa yang berlaku menunjukkan kepentingan blok Pembangkang yang kuat agar memberi tekanan kepada kerajaan termasuk dalam isu Statut Rom.
“Tindakan menandatangani statut ini yang dibuat tanpa merujuk kepada Majlis Raja-Raja merupakan tindakan bertentangan dan melanggar Perlembagaan Persekutuan.
“Kerana dalam Perlembagaan Persekutuan, jelas mana-mana perkara yang melibatkan kepentingan dan hak Raja-Raja Melayu, ia mesti dibawa ke Majlis Raja-Raja dan diperkenankan oleh Majlis Raja-Raja, dan baru boleh ditandatangani dan sebagainya.
“Jadi perkara ini tidak dilakukan seolah-olah terlalu terburu-buru hendak ditandatangani. Parlimen pun tidak dimaklumkan. Sepatutnya isu yang besar seperti ini perlu dibahaskan dalam Parlimen dan dirujuk kepada Raja-Raja Melayu. Tetapi dua perkara ini tidak dilakukan. Kita hanya tahu selepas ia ditandatangani,” katanya. Katanya, apa yang berlaku berbeza dengan isu mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).
Menurutnya, rakyat terlebih dahulu dimaklumkan mengenai ICERD, manakala dalam isu Statut Rom, perjanjian itu ditandatangani lebih awal sebelum dimaklumkan kepada rakyat.
Tambahnya, banyak negara-negara Asia Tenggara lain masih belum menandatangani Statut Rom.
“Singapura, Thailand dan Brunei belum. Tiba-tiba kita terlalu cepat, malah Filipina sebuah negara yang telah pun menandatangani sekarang keluar (menarik diri).
“Kuasa besar tidak tandatangan. Seperti Amerika Syarikat tidak tandatangan, Rusia tidak tandatangan, China tidak tandatangan, India tidak tandatangan dan ini bermakna bukanlah memberi kesan yang positif sangat kepada negara-negara. Sebab itu kita hairan apa kesan positif kepada kita,” ujarnya.-UTUSAN ONLINE











