PETALING JAYA: Hukuman penjara sepanjang hayat perlu dihapuskan dan diganti dengan hukuman yang lebih sesuai berdasarkan keperluan dan keadaan pada masa kini.
Ini kerana kata bekas Peguam Negara, Tan Sri Abu Talib Othman, banduan yang menjalani hukuman sepanjang hayat tiada tarikh bebas melainkan mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong, Yang di-Pertuan Negeri atau Sultan di mana kesalahan dilakukan.
Selain itu, katanya, hukuman tersebut juga tidak lagi sesuai dan melanggar prinsip hak asasi manusia di samping kejam berbanding hukuman mati mandatori.
“Hukuman penjara sepanjang hayat sebenarnya lebih teruk daripada hukuman mati.Ia melanggar hak asasi kemanusiaan.
“Yang ini kerajaan perlu pertimbangkan untuk mengkaji dan meminda hukuman penjara sepanjang hayat. Kalau pinda undang-undang, kerajaan tidak boleh lihat pada satu undang-undang sahaja.Ia perlu dilihat secara keseluruhan,” katanya kepada Mingguan Malaysia baru-baru ini.
Antara kesalahan yang dikenakan penjara sepanjang hayat termasuklah berkaitan dadah, senjata api dan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.
Berdasarkan rekod dari tahun 2013 hingga 2017, purata pesalah yang dikenakan hukuman penjara seumur hidup adalah antara seorang sehingga enam orang setiap tahun.
Antara kes penjara sepanjang hayat yang mendapat pengampunan termasuk kes membabitkan kumpulan Al-Maunah yang menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan kerana melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pada tahun 2000.
Kerajaan sebelum ini juga bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini, dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Keputusan itu dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar, pada Mesyuarat Jemaah Menteri sebelum ini.
Sementara itu Abu Talib berkata, hukuman mati mandatori wajar dilaksanakan atas kesalahan membunuh dengan niat kerana dilihat lebih adil, sebagaimana dinyatakan dalam al-Quran.
“Daripada sudut agama, kalau orang dibunuh tanpa sebab dia juga perlu dibunuh. Dalam Perlembagaan Persekutuan sendiri memperuntukkan Islam sebagai agama rasmi.
“Apabila di mahkamah, paling penting perlu dibuktikan sama ada si pembunuh niat nak bunuh atau sebaliknya. Mungkin pesalah yang didapati membunuh tanpa niat boleh dikenakan hukuman selain daripada kesalahan dilakukan tadi misalnya,” tegas beliau.
Dalam perkembangan lain, Abu Talib berkata, kerajaan dalam masa sama perlu mendapatkan nasihat dan rujukan pakar agama berhubung pemansuhan hukuman mati mandatori.
“Dari sudut agama, kalau orang dibunuh tanpa sebab, dia (pembunuh) juga perlu dibunuh. Itu jelas. Jadi mengapa tidak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad beri nasihat juga,” ujarnya. – UTUSAN










