Lima minit seludup satu tan ketum ke Thailand

Lima minit seludup satu tan ketum ke Thailand

ANGGOTA PGA memantau antara laluan aktiviti penyeludupan ketum di Wang Kelian, Perlis.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PADANG BESAR: Kumpul bungkusan daun ketum di dalam hutan atau kebun getah berhampiran pagar keselamatan sebelum ‘tentera semut’ dari Thailand mengutipnya untuk dibawa masuk ke negara jiran.

Itu modus operandi penyeludup ketum di sempadan termasuk ahli sindiket dari negara jiran itu selepas memotong pagar keselamatan dengan hanya mengambil masa kira-kira lima minit untuk melaksanakan tugas tersebut.

Aktiviti penyeludupan di Wang Kelian yang semakin ‘panas’ itu lazimnya dilakukan antara waktu senja dan awal pagi antara pukul 5 hingga 6 pagi, kononnya bagi mengaburi mata pihak penguat kuasa di kawasan sempadan itu.

Ahli sindiket di sini membawa masuk bungkusan daun ketum tersebut menggunakan motosikal atau kenderaan seperti pacuan empat roda sebelum ditinggalkan di dalam hutan atau kebun sebagai lokasi transit.

Mendedahkan kepada Utusan Malaysia, Pegawai Pemerintah Batalion 18 Pasukan Gerakan Am (PGA), Superintenden Ramli Wan Salin berkata, ‘tentera semut’ tersebut mengambil daun ketum itu dengan memikulnya seterusnya dibawa keluar berjalan kaki melalui lorong-lorong tikus.

“Ahli sindiket yang memikul guni berisi daun ketum ini dipercayai antara tujuh hingga 10 orang dalam satu-satu masa.

“Sebab itu, mereka (penyeludup) dapat membuat kegiatan itu dengan cepat. Dalam masa beberapa minit sahaja mereka boleh membawa keluar guni-guni tersebut,” katanya.

Mereka dianggarkan mampu menyeludup masuk kira-kira 30 guni ketum dengan setiap satunya seberat 35 kilogram dalam tugasan itu.

Bagaimanapun, kata Ramli, pihaknya sentiasa peka dan memerhatikan pergerakan ahli-ahli sindiket tersebut melalui pasukan risikannya.

Jelas beliau, pihaknya sudah mengenal pasti antara empat hingga lima lorong tikus digunakan penyeludup di kawasan tersebut.

“Anggota risikan kami sentiasa memantau dan berada di sekitar lorong-lorong tikus ini
bagi mengekang aktiviti penyeludupan.

“Malah sejak Batalion 18 mengambil alih penugasan di sempadan tersebut pada 5 Mei lalu, sudah terdapat kes empat rampasan ketum di Wang Kelian sahaja.

“Ada daripadanya melibatkan rampasan di sebuah rumah yang dijadikan tempat transit sebelum dibawa ke pagar keselamatan,” katanya.

Beliau berkata, selain sempadan Padang Besar, pihaknya juga sentiasa memberi tumpuan di Wang Kelian yang menjadi kawasan panas aktiviti penyeludupan sejak kebelakangan ini.

“Malah, kes rampasan oleh batalion lain sebelum ini juga banyak di kawasan Wang Kelian ini,” katanya.

Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan, Wang Kelian dikenal pasti sebagai kawasan panas aktiviti penyeludupan ketum dengan terbaharu, PGA merampas lebih satu tan metrik daun ketum dianggarkan bernilai RM30,450 yang ditemukan di dalam kebun getah di Kampung Wang Kelian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×