TATKALA Covid-19 datang dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menjadi tumpuan. Dek himpitan keadaan, kerajaan membenarkan pencarum mengeluarkan sebahagian simpanan KWSP mereka demi kelangsungan hidup.
Bermula dengan i-Lestari, i-Sinar, i-Citra dan terkini Pengeluaran Khas, maka ramai pihak mahukan penjelasan lanjut, apakah status zakat ke atas pengeluaran KWSP berkenaan?
Menjawab persoalan ini, fatwa di negeri-negeri di Malaysia menyatakan wajib zakat ke atas KWSP. Apa yang menjadi perbahasan ialah sama ada ia dimasukkan sebagai zakat wang simpanan ataupun wang pendapatan?
Umumnya, kebanyakan fatwa mengkategorikan wang KWSP sebagai sebahagian daripada harta pendapatan (mal al-mustafad). Ini kerana asal kepada KWSP adalah sebahagian daripada gaji yang diasingkan.
Ia bermaksud wang KWSP tidak mempunyai syarat haul. Ia tidak perlu menunggu setahun selepas dikeluarkan untuk dikenakan zakat dan wajib dizakatkan sejurus diperoleh ataupun pada tahun semasa ia diperoleh.
Maka dalam konteks ini, semua penerima wang KWSP wajib menunaikan zakat ke atas jumlah wang KWSP berkenaan pada tahun ia diperoleh. Namun isunya, bagaimana jika jumlah yang diperoleh itu berada di bawah paras nisab zakat?
Dalam isu ini, nisab atas zakat pendapatan datangnya selepas tolakan keperluan wajib atas diri dan tanggungan (yang disebut had al-kifayah). Jika baki pendapatan selepas ditolak had al-kifayah masih mencapai atau melebihi nisab, maka baharulah wajib mengeluarkan zakat pendapatan.
Oleh itu, ketentuan zakat bagi mereka yang menerima wang KWSP boleh dibahagikan kepada tiga kategori berikut.
Pertama, orang yang memang sudah dikenakan zakat pendapatan pada tahun berkenaan. Misalnya, dia membuat potongan zakat gajinya secara bulanan. Maka kumpulan ini sudah jelas jumlah pendapatannya melebihi had al-kifayah dan mencapai nisab. Maka jumlah wang KWSP yang diperoleh itu hendaklah terus dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.
Kedua, orang yang memang mempunyai pendapatan, namun dia tidak membuat bayaran zakat pendapatan sama ada secara bulanan atau tahunan kerana tidak tahu adakah jumlah pendapatannya benar-benar layak untuk membayar zakat.
Maka jumlah wang KWSP yang diperoleh itu hendaklah digabungkan dengan semua pendapatan pada tahun berkenaan. Di hujung tahun, jumlah besar pendapatan itu dibuat penolakan had al-kifayah. Jika bakinya masih mencapai atau melebihi nisab, maka wajiblah dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.
Ketiga, orang yang memang tidak mempunyai sebarang pendapatan. Misalnya suri rumah sepenuh masa, orang yang terlantar sakit dan cacat akibat kemalangan. Maka satu-satunya pendapatan yang dia dapat adalah daripada wang KWSP berkenaan.
AKAUN 1, AKAUN 2
Maka, jika wang KWSP yang diterima itu pun jumlahnya di bawah nisab, pastilah dia tidak wajib berzakat. Namun, jika jumlah wang KWSP yang dia dapat itu adalah besar, misalnya mencecah lebih RM50,000, maka dia perlu membuat kiraan dengan kaedah tolakan had al-kifayah terlebih dahulu. Jika bakinya masih mencapai atau melebihi nisab, maka wajiblah dikeluarkan zakatnya sebanyak 2.5 peratus.
Ada juga isu, apakah wajib menggabungkan jumlah wang KWSP yang diperoleh itu dengan jumlah di dalam simpanan Akaun 1 dan Akaun 2? Dalam isu ini, kita perlu melihat kepada syarat wajib zakat, iaitu milik sempurna. Maksudnya, pemilik harta itu mempunyai kebebasan 100 peratus memanfaatkan hartanya tanpa sebarang halangan.
Dalam konteks KWSP yang dalam Akaun 1 dan Akaun 2, apakah boleh pemiliknya memanfaatkan jumlah wang KWSP itu sebebasnya? Jawapannya, tidak. Maka jelas dia hanya ada milik sempurna ke atas jumlah wang KWSP yang sudah dikeluarkan dan itulah jumlah yang wajib dizakatkan sebagai zakat pendapatan.
Ada juga isu, pengeluar wang KWSP mesti menggabungkan pengeluaran-pengeluaran KWSP sebelum ini untuk melihat jumlah keseluruhannya, adakah melebihi nisab ataupun tidak.
Sebenarnya, pengeluaran yang dilakukan itu, jika berbeza tahun maka ia tidak lagi wajib digabungkan. Penggabungan harta pendapatan hanyalah bagi harta-harta pendapatan yang diperoleh pada tahun yang sama.
Ada juga yang enggan membayar zakat KWSP atas alasan mereka mempunyai tunggakan hutang dan mahu menolak dahulu hutang berkenaan. Sebenarnya, isu tolakan ke atas hutang sehingga menghilangkan kelayakan membayar zakat KWSP ini adalah tertakluk kepada tiga syarat yang mesti ada pada seseorang berkenaan. Pertama, hutang yang dilakukan adalah untuk memenuhi keperluan asasi diri dan tanggungan, bukan bermewah, berhibur dan sebagainya.
Kedua, hutang itu adalah dalam keadaan terdesak, yakni dia tidak ada pilihan lain lagi dan jika tidak berhutang maka akan berlaku kemudaratan kepada diri dan tanggungannya.
Ketiga, hutang itu dilakukan dalam keadaan dia tiada sumber lain untuk meneruskan kehidupan, misalnya dia dibuang kerja, tidak ada simpanan, tiada emas untuk digadaikan dan tidak ada bantuan daripada keluarga yang mencukupi.
Seandainya seseorang mempunyai syarat-syarat di atas, maka dia boleh menggunakan wang KWSP itu untuk membayar hutangnya terlebih dahulu.
Namun jika tidak cukup syaratnya, misalnya dia memang berhutang untuk keperluan asasi, juga dalam keadaan terdesak namun kini dia sudah pun mempunyai pekerjaan yang sesuai dengan pendapatan yang baik yang membolehkan dia membayar hutangnya, maka dia tetap wajib membayar zakat KSWP berkenaan.
Demikianlah beberapa penjelasan mengenai zakat ke atas KWSP yang diharap dapat memberikan pencerahan kepada pembaca dan seterusnya membantu mereka menunaikan zakat dengan hati yang lapang dan penuh kefahaman. – UTUSAN
PENULIS ialah Ketua Jabatan Dakwah & Perundingan, Lembaga Zakat Selangor.










