PETALING JAYA: Hanya satu aplikasi mudah alih al-Quran di Malaysia iaitu Smart Quran yang mendapat kelulusan Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran Kementerian Dalam Negeri.
Sebelum ini, dianggarkan terdapat 250 aplikasi mudah alih Islam termasuk al-Quran yang diterbitkan pelbagai pihak dari dalam atau luar negara sekali gus mencetuskan kebimbangan sama ada kandungan tepat selepas disemak Lajnah Penyemakan dan Penilaian Teks Al-Quran (LPPPQ) Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan Kementerian Dalam Negeri, Mohammad Sanusi Abdul Karim berkata, sebarang bentuk percetakan dan penerbitan yang mengandungi ayat al-Quran perlu mendapat kelulusan lembaga itu termasuk secara dalam talian seperti di bawah Akta Percetakan Teks Al-Quran.
Katanya, Smart Quran yang dibangunkan dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, KDN dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) merupakan aplikasi pertama dan satu-satunya mendapat kelulusan Lembaga Kawalan dan Pelesenan Percetakan Al-Quran.
“Ramai tidak mengetahui Malaysia mempunyai satu undang-undang iaitu Akta Percetakan Teks Al-Quran yang bertujuan mengawal percetakan, pengimportan, penjualan, penerbitan dan pengedaran teks al-Quran dan bahan kitab suci itu.
“Sebelum diberikan kelulusan, LPPPQ yang terdiri daripada pakar rujuk perlu menyemak setiap perkataan dan ayat bagi mengelak kekeliruan dan kesilapan bacaan al-Quran yang sering digunakan umat Islam dalam kehidupan seharian.
“Akta ini tidak hanya termaktub kepada mushaf, tetapi juga merangkumi sebarang seluruh teks al-Quran termasuk secara elektronik dan audio. Maka sebarang penerbitan al-Quran sama ada bercetak mahupun online perlulah memperoleh kelulusan KDN,” katanya.
Dalam pada itu, Mohammad Sanusi memaklumkan, pihaknya setakat ini tidak menerima aduan dan laporan daripada orang ramai berhubung kesilapan dan kekeliruan bacaan aplikasi mudah alih al-Quran, namun menyeru mereka menyemak kesahihan terlebih dahulu dengan pakar rujuk.
Menurutnya, kebanyakan aplikasi mudah alih al-Quran diterbitkan dari negara-negara luar dan sukar bagi pihaknya untuk mengawal sekiranya terdapat sebarang kekeliruan bacaan.
“Jadi orang ramai perlu berwaspada dalam soal ini dan tidak menggunakan aplikasi mudah alih itu tidak menyedari ada kesilapan berbanding daripada mushaf al-Quran diluluskan KDN. Jika terdapat ayat atau perkataan tidak sama, sila buat aduan kepada kami segera supaya tindakan dapat dilakukan,” katanya.
Beliau menjelaskan, pihaknya kini dalam perancangan untuk mengeluarkan garis panduan aplikasi mudah alih al-Quran yang boleh digunakan pengeluar sebagai rujukan sebelum mereka menerbitkannya kepada umum. – UTUSAN










