Mudahnya Melayu nak jadi pak Arab

Mudahnya Melayu nak jadi pak Arab

PENULIS mengkritik sikap segelintir masyarakat Melayu yang keterlaluan mengikut serta meniru budaya orang Arab dan Barat. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, saya kupas mengenai kekeliruan orang Melayu terhadap perbezaan mengikut ajaran Islam dan taksub kepada orang Arab menerusi aplikasi TikTok. Kupasan yang dibuat itu pun kurang dari dua minit, namun telah mendapat perhatian secara meluas daripada netizen.

Ramai yang menyokong dan ada juga yang bersyukur kerana saya menyuarakan isu tersebut. Namun begitu, tidak terlepas juga dengan komen-komen yang seolah-olah
melihat saya seorang yang rasis.

Apa yang saya terkilan, setelah setengah jam, video tersebut telah dipadam oleh pihak TikTok kononnya melanggar garis panduan. Kerana merasakan ia tidak adil, saya segera menghantar aduan kepada TikTok dan alhamdulillah, hanya dalam masa lima minit, video tersebut kembali ke TikTok.

Masyarakat kena faham, kenyataan yang dibuat itu berdasarkan kepada fakta dan pengalaman sebenar. Saya kritik bangsa Arab, bukan agama Islam. Orang Melayu sangat Islamik dan cintakan Nabi Muhammad SAW. Itu suatu perkara yang bagus, namun mereka perlu sedar yang nabi kita sendiri pun tidak membenarkan mengangkat sesebuah bangsa.

Asal ada lagu Arab, orang Melayu kita pakat tadah tangan, padahal itu lagu cinta. Disebabkan perangai perak orang Melayu yang mengangkat tok Arab, akhirnya banyaklah orang Arab naik kepala, tak ubah macam mat salih, rasa mereka ahli syurga dah boleh berbuat apa sahaja yang dimahukan.

Kalau kita kata mat salih rasis, orang Arab pun boleh tahan rasis mereka. Tanya sahaja pelajar-pelajar kita di tanah Arab seperti di Mesir. Mereka semua pasti pernah mengalami detik-detik dihina, dijelek dan dipermainkan oleh tok Arab. Itu pun masih tak sedar diri, masih lagi nak mengangkat orang-orang Arab.

Agamawan pun sama, dua kali lima. Ajarkan sahaja agama Islam tanpa membawa naratif-naratif berlebihan tentang orang Arab. Setahu saya, pemakaian jubah dan
serban bukan suatu kewajipan tetapi sunnah. Apa salahnya pakai baju Melayu lengkap dengan samping pada hari-hari tertentu terutama pada hari raya dan sebagainya.
Berdosakah? Hilangkah identiti anda selaku orang agama?

KETERLALUAN

Orang Arab di Malaysia sudah keterlaluan dan pihak berkuasa perlu ambil perhatian. Memandu kereta macam orang gila, itu belum lagi dengan sikap rasis dan biadab terhadap masyarakat setempat. Kalau pelarian Rohingnya bukan main lagi kita kecam dan herdik. Tapi kalau tok Arab, boleh pula kita terima mereka masuk. Kononnya
pelarian Rohingnya buat masalah, tak sedarkah mereka ramai daripada tok Arab pun buat benda yang sama tapi dengan modus operandi berbeza? Bukankah sebelum ini
pun kita banyak disajikan dengan cerita-cerita peminta sedekah dalam kalangan pelarian Syria? Akhirnya ternyata mereka sekadar mengambil kesempatan dan hidup mewah atas kebaikan masyarakat tempatan.

Para pembaca sekalian, sekali lagi saya nak ulang, saya kritik cara kita mengangkat orang Arab dan bukan mengkritik ajaran Islam. Jangan herdik saya tanpa usul periksa dan sedarlah bahawa kita orang Melayu yang terlalu berbeza dibandingkan dengan Arab. Orang kita berpusu-pusu hantar anak-anak ke tanah Arab belajar agama kononnya, tapi orang Arab pula berpusu-pusu hantar anak-anak mereka belajar agama dan ilmu dunia di Malaysia. Tengok sahaja di Universiti Islam Antarabangsa (UIA),
berlambak orang-orang Arab di situ.

Saya berani katakan, Malaysialah negara Islam contoh dan mempraktikkan kebanyakan ajaran Islam seperti lemah lembut, sopan-santun dan kuat berdiplomasi. Kononnya marah sebahagian orang kita nak jadi ala-ala mat salih, cara pemakaian Barat dan sepanjang masa nak bercakap dalam bahasa Inggeris. Habis tu orang kita yang selama ini asyik ana, ente itu pula bagaimana? Ya, kita belajar bahasa Arab sebab nak baca al-Quran dan hadis, nak faham isi kandungan kemudian mempraktikkannya. Takat tu
cukuplah, buat apa sampai nak jadikan ia sebagai sebahagian daripada cara kita berkomunikasi. Segan saya nak bercakap dengan golongan ini sebab mereka selalu panggil saya dengan gelaran syeikh hanya kerana saya berjambang.

Hailah Melayu! Satu bangsa yang begitu tiada identiti. Nak jadi macam mat salihlah, nak jadi macam tok Arablah, sekarang nak jadi pula macam Turki. Melayulah satu-satunya bangsa yang pelik, tiada jati diri dan ada krisis identiti.

Saya yakin ramai yang marah dengan penulisan ini, namun ketahuilah bahawa saya tak kisah kerana saya ingin merevolusikan pemikiran anak Melayu kita. Saya sudah tak larat tengok anak bangsa kita yang semakin pudar semangat cintakan negara. Takut suatu hari nanti orang Arab dan mat salih pula diangkat sebagai pemimpin. Nauzubillah. – UTUSAN

PENULIS ialah pemerhati isu tempatan dan antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×