Hari tu berebut jawatan Perdana Menteri, sekarang sibuk cerita siapa nak jadi Timbalan Perdana Menteri pula. Time Covid-19 ni makin menjadi-jadi pula Malaysian politicians ini.” – Itu satu hantaran dalam grup WhatsApp persatuan penduduk di kediaman saya.
Kemudian seorang lagi menyampuk – “Anwar sudah tak ada nomborlah. Patut jawatan Perdana Menteri ini beri kepada dua orang, ikut syif. Satu syif pagi, satu syif malam.”
Dan seorang dua lagi menyambung cerita pasal politik. Walhal itu grup WhatsApp untuk penduduk mengadu atau berbincang hal-hal kediaman di situ saja.
Tapi sudah lebih sebulan hari-hari cerita pasal politik. Celik saja sebelum solat subuh, sudah ada hantaran pasal politik.
Fauziah left. Saya bukan hilang sabar. Boleh saja mute untuk tempoh setahun grup itu. Tapi saya sudah banyak grup yang bercerita pasal politik. Termasuk grup jual cadar yang kawan saya masukkan saya di situ. Aduhai!
Kali terakhir grup kediaman saya itu benar-benar bercerita hal penduduk di situ seingat saya kira-kira dua bulan lepas. Mereka bertekak pasal kucing dan nyamuk.
Seorang penghuni di situ marah-marah kerana ada yang membela kucing tetapi dibiarkan kucing itu membuang najis merata-rata. Dia yang sudah pencen dan asyik dengan acara mengindahkan lanskap perumahan itu, mengecam si pembela kucing.
“Duduk kondo mana boleh bela kucing. Pengawal keselamatan kalau nampak kucing buanglah kucing itu jauh-jauh. Kotorlah,” katanya.
Seorang pencinta haiwan agaknya masuk – “Kucing pun nak hiduplah datin. Macam manusia juga. Kucing boleh cari makan sendiri ke? Kenapa nak dengki kat kucing ni?”
Katanya lagi, lanskap yang penuh dengan pokok-pokok lagi berbahaya. Banyak nyamuk. Dan kawasan kediaman saya juga telah diumumkan kawasan denggi. Lebih baik buang saja pokok-pokok itu. Bukan kucing.
“Mana lebih bahaya ni. Nyamuk Aedes ke kucing datin oii?” soal pencinta haiwan itu.
Dan perbalahan dalam grup WhatsApp itu pun berlarutan selama dua hari dua malam saya rasa. Entah apa kesudahannya saya pun tidak tahu. Saya pun sibuk dengan kerja hakiki untuk mengikuti `episod akhir’ kucing dan nyamuk itu.
Biarlah kata saya memujuk hati. Asalkan mereka duduk diam di rumah masa Covid-19 ini. Sebab itu, banyak masa dihabiskan melayan media sosial. Hal kucing dan nyamuk pun boleh bergaduh.
Tapi bila fikir balik ada kaitan juga cerita kucing dan nyamuk ini dengan keadaan semasa politik negara. Ya, nyamuk yang menghisap darah dan nasib kucing yang hendak cari makan.
Ok. Saya tidak mahu terjebak dalam cerita politik. Soalnya sekarang kenapa grup WhatsApp di mana-mana pun sering lari topik?
Kalau grup itu untuk penduduk, ceritalah pasal hal-hal penduduk. Kalau grup meniaga ceritalah pasal meniaga. Hendak berniaga ke hendak berpolitik?
Saya pun meneliti telefon pintar saya. Rupanya saya ada sembilan lagi grup WhatsApp. Paling terbaharu saya dimasukkan dalam grup ‘tadah air’. Dan grup itu senyap sunyi menanti bila lagi kami
perlu menadah air di kawasan perumahan itu. Tunggu gangguan bekalan air berlaku, baru aktif kembali.
Saya tak sempat membaca apa hantaran terakhir dalam grup yang gambar profilnya paip dan tong air itu. Dan ya saya baru membaca mesej terakhir itu – “Korang rasa Anwar boleh jadi Perdana
Menteri tak ni?” Saya pun tepuk dahi… – Mingguan Malaysia










