JOHOR BAHRU: Barisan Nasional (BN) Johor bukan sahaja meraih keputusan memberangsangkan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, tetapi merampas semula kerusi yang dimenangi Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) sebelum ini.
Dalam pilihan raya itu, BN menang 40 kerusi diikuti PH yang bertanding berasingan bersama PKR dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) menang di 13 kerusi dan PN hanya mendapat tiga kerusi.
Antara kerusi yang disandang Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ldan dimenangi BN kali ini adalah Pemanis, Tenang, Gambir, Permas, Larkin, Kempas dan Bukit Permai.
Malah, kerusi tunggal milik Pas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Pasir juga kini sudah bertukar tangan kepada BN, sementara dua kerusi yang menyaksikan wakil rakyat UMNO menyertai Bersatu sebelum ini iaitu Johor Lama dan Sedili juga dimenangi BN.
Gambir
Paling mencuri tumpuan adalah Gambir yang menyaksikan calon BN, Sahrihan Jani menewaskan Ketua Penerangan PN Johor, Mohd. Solihan Badri di kerusi yang disandang oleh bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi PN.
BN turut memenangi semula kerusi milik bekas Menteri Besar Johor, Allahyarham Datuk Osman Sapian di Kempas apabila calon BN, Datuk Ramlee Bohani menang di situ dengan majoriti 3,514 undi walaupun berdepan saingan tujuh penjuru.
Sementara itu, BN turut memenangi semula 13 kerusi milik PH iaitu Kemelah, Bekok, Serom, Bukit Naning, Semerah, Yong Peng, Parit Yaani, Senggarang, Paloh, Tiram, Kota Iskandar, Pulai Sebatang dan Pekan Nanas.
Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sri Gading, Datuk Najib Samuri dianggap sebagai giant killer apabila mengetepikan Pengerusi PH Johor, Aminolhuda Hassan meskipun hanya meraih 294 majoriti di Parit Yaani.
Kerusi Yong Peng yang dianggap sukar ditembusi BN sejak beberapa penggal lalu kini berada dalam tangan gabungan itu apabila Ketua Pemuda MCA Johor, Ling Tian Soon mendapat 9,870 undi yang menyaksikan majoriti sebanyak 2,741 undi mengatasi calon dari DAP.
Malah, MCA turut berjaya menumpaskan Naib Pengerusi DAP Johor, Sheikh Omar Bagharib Ali di Paloh setelah wakil BN, Lee Ting Han memperolehi majoriti 3,176 undi dalam saingan empat penjuru di situ.
Selain itu, BN terus mempertahan Buloh Kasap, Sungai Balang, Sri Medan, Semarang, Parit Raja, Rengit, Machap, Layang-Layang, Kahang, Tenggaroh, Panti, Pasir Raja, Penawar, Tanjung Surat, Benut dan Kukup.- UTUSAN










