PUTRAJAYA – Seorang kanak-kanak berusia lima tahun maut selepas kereta yang dinaiki bersama ahli keluarganya terlibat dalam kemalangan di simpang empat lampu isyarat Jambatan Sri Ehsan di sini semalam.
Kemalangan pada pukul 1.30 petang itu mengorbankan Nur Umairah Syakirah Rosdi selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Rosly Hasan berkata, siasatan awal mendapati, nahas tersebut berlaku sewaktu mangsa bersama ibu bapa, abang, kakak serta adiknya masing-masing berusia 8, 6 dan tiga tahun menaiki kereta Perodua Alza dari arah Persiaran Perdana menuju ke Persiaran Timur.
Jelasnya, sewaktu kejadian, sebuah kereta jenis Audi A5 yang datang dari arah Jalan Tun Hussein menuju ke Lingkaran Gemilang telah berlanggar dengan kereta yang dinaiki mangsa.
“Kemalangan itu mengakibatkan mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala sebelum dihantar ke Hospital Putrajaya untuk rawatan lanjut.
“Adik bongsu dan bapa kanak-kanak itu mengalami kecederaan ringan. Selain itu, ibu mangsa yang bekerja sebagai guru di sebuah tadika patah kaki kiri dan tulang pinggulnya retak,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Menurut Rosly, kakak mangsa yang berusia lapan tahun kini sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dalam keadaan koma selepas mengalami kecederaan di kepala dan tidak sedarkan diri manakala abangnya cedera di kepala serta patah kaki kiri.
Jelasnya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia di Hospital Putrajaya kira-kira pukul 9.50 malam tadi.
“Pemandu kereta jenis Audi A5 berusia 37 tahun bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan lanjut masih dijalankan. -K! ONLINE











