KUALA LUMPUR 28 Julai – Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melaksanakan pelepasan telur nyamuk aedes yang disuntik dengan bakteria Wolbachia bagi menghalang jangkitan virus denggi daripada nyamuk kepada manusia di tiga perumahan bertingkat, hari ini.
MBPJ memaklumkan, pihaknya mendapat kerjasama Kementerian Kesihatan dan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) untuk melakukan kaedah tersebut sebagai langkah inovasi di dalam operasi kawalan denggi sekali gus menangani peningkatan kes demam denggi di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.
Ujarnya, telur-telur nyamuk yang disuntik dengan bakteria Wolbachia ini akan diletakkan di dalam bekas plastik hitam yang dilabelkan sebagai ‘Release Container’ (RC) di lokaliti-lokaliti tertentu.
“Lokaliti yang terlibat dengan pelepasan RC ini ialah di Kondominium Kelana Putera dan Kelana Puteri SS7, Apartment Pelangi Damansara Blok D-K dan Flat Desa Mentari Blok 1, 2, 4, 5, 6 dan 7.
“Pelaksanaan ini akan sentiasa dipantau oleh Kementerian Kesihatan dan analisa akan dilakukan bagi memastikan keberhasilan operasi ini dalam mengurangkan kes dan kematian akibat demam denggi,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambah MBPJ, penghuni di perumahan bertingkat berkenaan turut dinasihatkan agar tidak menyentuh, mengganggu atau mengalihkan bekas RC dan perlu memastikan ia berada dalam keadaan baik. – UTUSAN ONLINE











