Bahagia ‘bertapa’ elak gimik murah - Utusan Malaysia

Bahagia ‘bertapa’ elak gimik murah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

INTEGRITI tetap akan tertonjol walau tidak ada mata yang memerhati. Ya.. Itu prinsip kerjayanya.

Mahu kekal konsisten dalam radar seni tanpa mempedulikan pujian, ganjaran mahupun kelas kewibawaan, itu integriti yang dicari Ummu Shaikhah Stacy Anam atau Stacy, 28.

Tidak terasa kurang dan tiada lebih dalam pencapaian kerjaya, isteri kepada Akim Ahmad ini sememangnya memilih untuk ‘berehat’ seketika sebelum ini agar fikiran dan langkah kerjaya boleh dicatur mengikut susunan dirinya sendiri.

Memuatkan artikel berkaitan…

Bahkan disebabkan itu, Stacy melihat penglibatannya dalam industri ini bukan hanya untuk bergelar penyanyi tetapi lebih kepada membawa muzik negara ke pentas luar.

“ Berada 11 tahun dalam industri, ini bukan masa mencari publisiti atau kontroversi. Kalau dahulu saya datang ke dunia muzik sekadar untuk menjadi penyanyi, kini tidak lagi.

“Apa beza saya dengan penyanyi karaoke kalau masih buat perkara yang sama? Saya tak mahu jadi penyanyi yang hanya tahu menyanyi. Jadi misi saya adalah mahu membawa muzik Malaysia ini bukan sahaja suka didengari oleh masyarakat kita tetapi juga orang luar negara,” jelas Stacy.

Sunyi daripada sebarang publisiti media selepas mendirikan rumah tangga, juara  program realiti, Akademi Fantasia musim keenam ini bagaimanapun tidak terpanggil untuk mereka sebarang gimik bagi menaikkan namanya.

“Saya memilih untuk berehat lama, selagi tak jumpa ‘barang’ yang sesuai saya tidak akan keluar. Rutin kehidupan saya berat dan penat untuk fizikal dan mental.

 

“Kami suami isteri `bertapa’ di rumah dan jalani kehidupan bersama keluarga seperti orang lain. Bila bersedia dan ada sesuatu yang boleh diberikan kepada peminat, baharulah kami keluar untuk diperdagangkan kepada umum.

“Bukan masanya untuk raih publisiti yang tidak rasional, kami bahagia dengan cara begi­ni,”luah Stacy yang kini sibuk dengan rangka promosi lagu baha­runya, Khayal.

Khayal
MUNCUL dengan lagu baharu hasil sentuhan diri sendiri, Stacy berkata buah tangannya kali ini terlalu istimewa kerana ia dihasilkan dari hati yang dalam. 

Mendefinisikan Khayal sebagai sebuah karya yang berbeza daripada lagu-lagu berentak rancak yang pernah dirakamkan sebelum ini, jelas Stacy ada perubahan ketara dalam persembahan vokal dan penghayatan muziknya kali ini. 

“Kali ini, persembahan vokal saya lebih memberikan penekanan kepada ‘feel’ feminin dan beremosi. Setelah sekian lama, saya berasa puas dengan pencapaian yang saya lakukan sekarang. 

“Lagu ini sebenarnya saya menceritakan tentang betapa sakitnya menghadapi dunia realiti. Bila kita tertekan, marah, kecewa dan sedih, kalau boleh kita nak lari dari segala masalah,”luah Stacy yang turut bertanding bersama suaminya dalam program realiti, Mentor Milenia akan datang. 

Gementar untuk bertanding dengan nama-nama hebat yang lain seperti Hazama, Black dan Ernie dalam Mentor Milenia nanti, Stacy tetap cuba mencari kelebihan lain dalam dirinya untuk berkongsi dengan anak didiknya nanti. 

“Ini pembabitan pertama saya dalam program ini. Walaupun tinggal serumah, saya tidak nampak kami berdepan dengan masalah untuk mendidik protege masing-masing.

“Lagipun di rumah kami ada studio. Mudah untuk berlatih dengan protege masing-masing. Cuma soal strategi, masing-masing ada cara tersendiri,” jelas Stacy. 

Bahagia Tersendiri
MEMPUNYAI cara tersendiri untuk menikmati bahagia, ibu kepada dua orang anak ini meluahkan rasa syukur kerana sangat dihargai oleh si suami.

 Cinta di hati tidak pernah pudar malah gurauan dan arahan ‘pelik’ Akim men­jad­ikan dirinya bertam­bah setia.

 “Syukur dan terima kasih Tuhan kerana memberikan jodoh ini kepada saya. Walaupun pada awalnya wujud rasa risau dengan dugaan perkahwinan namun alhamdulillah cinta kami masih utuh. Selepas berkahwin, segala hitam dan putih dugaan yang datang menjadikan saya rasa sangat sayang kepadanya.

“Umum tahu saya memeluk agama Islam sebelum berkahwin, banyak yang perlu saya pelajari dan di situ saya lihat bagaimana suami saya menjalankan tanggungjawabnya dalam membimbing kami sekeluarga. 

“Dia tidak memaksa namun caranya begitu selesa,” luah Stacy. 

Ditanya keadaan diri mereka yang kini kelihatan kurus, jelas penyanyi Kisah Dongeng ini, mereka berdua memang berusaha menjaga berat badan supaya stamina nyanyian dan tarian dapat dikekalkan. 

“Kalau saya berdiet sudah tentu Akim akan terbabit sama sebab saya tak masak. Saya pula ambil jurulatih khas untuk latih saya di gim, Akim pula amalkan diet kardio. 

“Saya tak boleh biar berat badan naik sewenang-wenangnya, ia akan menyukarkan saya untuk menari dan menyanyi. 

“Kalau sebelum kahwin saya boleh dapat stamina yang bagus, saya perlu buktikan selepas kahwin saya mampu kekal atau beri lebih baik,” jelas Stacy mengakhiri perbualan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini