KUALA LUMPUR 1 Julai – Orang ramai dipelawa menghulurkan sumbangan untuk program ibadah korban sempena Hari Raya Aidiladha anjuran Kelab Jalinan Siswa Bersama Masyarakat Asli (Jasa), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di Kampung Chenglek, Sungai Siput, Perak dari 8 hingga 12 Ogos ini.
Program dinamakan Project Soul: Jom Qurban ‘Sacrification of Soul’ di bawah seliaan Pusat Khidmat Masyarakat dan Pendidikan Berterusan (Censerve) UIAM bertujuan membina asas nilai-nilai Islam dalam kehidupan penduduk kampung tersebut yang terdiri daripada Orang Asli.
Selain itu, program berkenaan juga bermatlamat mengukuhkan ikatan antara peserta dan penduduk kampung menerusi ibadah korban dan akikah.
Program itu juga akan mengetengahkan perkembangan pendidikan dan kerohanian yang lebih intensif melalui penyebaran dakwah Islam dan memupuk kesedaran mengenai kepentingan pendidikan kepada golongan remaja Orang Asli.
Kadar bayaran ibadah korban untuk orang ramai menyertai program tersebut adalah RM600 bagi satu bahagian atau seekor RM4,200.
Harga lembu adalah mengikut pasaran di Perak termasuk kos pengangkutan.
Baki daripada pembelian lembu disebabkan faktor penurunan harga akan dikembalikan kepada penyumbang.
Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Bank Islam 12159010018741 atas nama Akademi Keluarga Fitrah (ref: Project Soul).
Sebarang pertanyaan boleh hubungi Fatin 013-4147935. – UTUSAN ONLINE











